Carian

Isnin, 26 November 2012

Langkah-langkah Menangani Gejala Vandalisme

Gambar di bawah menunjukkan perbuatan vandalisme. Tulis sebuah karangan tentang langkah-langkah menangani gejala vandalisme. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • vandalisme membawa pelbagai masalah
Isi:
  • didikan awal di rumah dan sekolah - melalui subjek Sivik
  • hukuman berat memberi amaran
Penutup:
  • mesti dibendung sebelum melarat


CONTOH KARANGAN

Jenayah vandalisme sering diperkatakan oleh masyarakat hari ini. Vandalisme membawa maksud perbuatan merosakkan harta benda serta kemudahan awam. Perbuatan seperti ini telah membawa pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara. Terdapat pelbagai cara yang boleh kita lakukan bagi mengurangkan gejala ini daripada terus berleluasa.

     Langkah pertama bagi membasmi masalah ini adalah dengan pendidikan awal di rumah dan di sekolah. Ibu bapa harus menerangkan kepada anak-anak mereka akan kepentingan menghargai kemudahan awam. Di sekolah, melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, pelajar harus diberi maklumat yang betul tentang kesan-kesan negatif daripada perbuatan merosakkan harta benda awam.

     Hukuman yang lebih berat harus dikenakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan perkara ini. Tindakan ini penting untuk memberi peringatan kepada masyarakat bahawa perbuatan merosakkan kemudahan awam merupakan kesalahan yang serius. Penguatkuasaan yang lemah serta hukuman yang ringan tidak akan memberi impak yang diharapkan.

     Kesimpulannya, perbuatan vandalisme ini seharusnya dibendung dari sekarang sebelum ia mudarat. Setiap ahli masyarakat perlu peka akan kepentingan menjaga seta memelihara harta benda awam agar semua orang dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Janganlah kita menjadi seperti kera mendapat bunga yang akan merugikan semua pihak.

5 ulasan: