Carian

Isnin, 26 November 2012

Ciri-ciri Pelajar Cemerlang

Gambar di bawah menunjukkan ciri-ciri pelajar cemerlang. Tulis sebuah karangan tentang pelajar cemerlang. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • setiap tahun banyak pelajar cemerlang
  • adakah cemerlang semua aspek
Isi:
  • bukan sahaja cemerlang akademik tetapi taat perintah guru - bersedia sebelum guru mengajar
  • ada kepimpinan - dihormati pelajar lain
  • berdisiplin - aktif kokurikulum
Penutup:
  • perlu cemerlang dalam pelbagai aspek


CONTOH KARANGAN

Setiap tahun apabila keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM diumumkan sudah pasti akan muncul ribuan pelajar yang cemerlangl Setiap individu yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan adakah cemerlang dalam semua aspek? Oleh itu, penulis akan mengupas tentang apa yang benar-benar cemerlang dalam erti kata sebenarnya.

     Pelajar yang cemerlang sudah tentu mempunyai sejarah pencapaian akademik yang cemerlang sama ada peperiksaan dalaman atau peperiksaan awam. Bukan itu sahaja, mereka juga merupakan pelajar yang sentiasa taat dalam menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru pada masa yang telah ditetapkan. Hal ini selaras dengan kata-kata pujangga, 'orang cerdik memberi jawapan, orang bodoh memberi alasan'. Mereka juga turut membuat persediaan sebelum guru memulakan pelajaran baru.

     Selain aspek akademik, pelajar yang cemerlang juga mempunyai daya kepemimpinan. Daya kepemimpinan menjadikan mereka seorang yang dihormati oleh rakan-rakan yang lain. Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang akademik dan mempunyai daya kepemimpinan yang tinggi akan dilantik oleh pihak sekolah sebagai ketua pelajar atau pengawas sekolah.

     Seorang yang cergas dan mempunyai sahsiah diri yang berdisiplin juga merupakan aspek penting dalam diri seorang pelajar cemerlang. Penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti pertandingan bahas dan acara sukan menunjukkan mereka seorang yang cergas. Disiplin yang baik seperti menghormati guru, menepati masa dan tidak melanggar peraturan sekolah menyebabkan mereka disenangi oleh semua pihak.

     Konklusinya, pelajar cemerlang yang dihasilkan pada setiap tahun perlu cemerlang dalam pelbagai aspek. Pihak sekolah dan ibu bapa perlu peka akan perkara ini agar modal insan yang kita lahirkan berminda kelas pertama seperti yang diuar-uarkan oleh bekas Perdana Menteri kita, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi.

10 ulasan: