Carian

Isnin, 5 November 2012

PENCERITAAN / CEREKA

TEKNIK MENJAWAB SOALAN

  1. Kehendak soalan karangan jenis penceritaan biasanya mengandungi ungkapan-ungkapan seperti ceritakan pengalaman anda itu (PMR 2001, 1999 ...), ceritakan langkah-langkah yang telah diambil untuk memulihkannya (PMR 1998), dan tulis pengalaman anda itu (PMR 1993). Didapati bahawa dalam PMR, pelajar sering diminta agar menceritakan pengalamannya dalam sesuatu hal yang pernah dialaminya atau aktiviti kokurikulum yang pernah diikutinya.
  2. Semasa menulis karangan jenis ini, anda haruslah menceritakan pengalaman dalam sesuatu perkara (berdasarkan kehendak soalan) yang dapat menarik minat pembaca. Jika anda tidak mempunyai pengalaman yang sebenarnya sebagaimana yang diminta dalam kehendak soalan, anda harus menggunakan daya imaginasi anda.
  3. Bisanya, gunakan "aku" atau "saya" sebagai watak utama semasa bercerita. Elakkan daripada mencipta terlalu banyak watak yang akan menjejaskan jalan cerita anda kelak. 
  4. Dalam penceritaan sesuatu pengalaman, anda perlu memperkenalkan pengalaman anda, selepas itu memikirkan perkara-perkara menarik (isi) yang berkaitan dengan pengalaman anda dalam sesuatu aktiviti atau hal diikuti dengan penutup yang menarik.
  5. Dalam karangan bentuk cereka (cerita rekaan) pula, sesebuah cereka yang biasa haruslah mempunyai bahagian seperti permulaan cerita, kemuncak dan  penyelesaian.
  6. Di bahagian permulaan, anda boleh memperkenalkan satu kejadian yang berkait dengan kehendak soalan. Gunakan kreativiti anda untuk menarik perhatian pembaca agar terus membaca cerita anda itu.
  7. Selepas pengenalan, anda boleh mula memperkenalkan perkara-perkara atau kejadian yang akan membawa konflik atau masalah kepada watak utama.
  8. Di bahagian kemuncak pula, konflik watak utama sudah pun sampai ke tahap puncaknya. Hal ini penting untuk mencari jalan penyelesaian untuk konflik yang dihadapi oleh watak utama.
  9. Di bahagian penyelesaian, konflik yang dihadapi oleh watak utama sudah dapat diatasi. Sertakan unsur-unsur pengajaran atau nilai moral dalam bahagian penyelesaian. Sebagai contoh, watak utama sudah berasa kesal akan kesalahannya. Ataupun anda boleh sertakan penyelesaian yang menggembirakan (happy ending) dan banyak lagi.
  10. Selain watak dan jalan cerita, sesebuah cerita juga mengandungi latar masa (yang lampau, kini atau pada masa yang akan datang), dan latar tempat (semasa temasya sukan, di kampung, tempat kejadian kemalangan...).
  11. Cuba cipta dialog yang menarik. Anda juga dapat menghasilkan cerita yang menarik tanpa dialog. Elak daripada menggunakan bahasa pasar atau loghat daerah masing-masing.
  12. Anda harus banyak membaca cerpen atau novel untuk mempelajari gaya bahasa sastera penulis cerpen atau novel yang terkenal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan