Carian

Selasa, 27 November 2012

"Bumi Mana Yang Tidak Ditimpa Hujan"

Kata orang "bumi mana yang tidak ditimpa hujan". Katakan anda sendiri pernah membuat satu kesalahan yang agak serius. Ceritakan pengalaman anda bersabit dengan kesalahan yang telah anda lakukan.

                                                                                                                                                                         

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Jelaskan maksud pepatah.
  • Berikan satu contoh tokoh agung.
  • Nyatakan tentang kelemahan diri.
Kemuncak:
  • Tertarik dengan gaya hidup bebas.
  • Mula bergaul dengan budak nakal.
  • Belajar berbudi.
  • Hutang, mencuri wang.
  • Ditangkap oleh polis.
Penyelesaian:
  • Dibawa ke balai polis.
  • Berasa malu.
  • Ibu bapa ikat jamin.
  • Insaf akan kesalahan.


CONTOH KARANGAN

Apa yang diujarkan oleh orang-orang tua dahulu bahawa bumi mana yang tidak ditimpa hujan memang tepat sekali. Kalau George Washington, iaitu bekas Presiden Amerika yang tersohor pernah menumbangkan pokok epal kesayangan bapanya dan berniat untuk berdusta dengan bapanya, apatah lagi seorang manusia biasa seperti aku ini.

     Kira-kira enam bulan yang lalu, aku mula tertarik dengan gaya hidup beberapa orang rakan sekampung yang sering ponteng sekolah. Mereka sentiasa kelihatan riang kerana terhibur dengan berbagai-bagai jenis permainan yang menyeronokkan. Oleh itu aku mula bermain daun terup. Sekarang aku didedahkan dengan  pengetahuan bermain bermacam-macam jenis permainan daun terup yang amat menghiburkan hati kami semua.

     Pada mulanya, kami hanya menggunakan tiket bas terpakai sebagai wang pertaruhan. Lama-kelamaan kami mula bertaruh dengan duit syiling berluma dengan lima sen sekali sepuluh ringgit. Alangkah seronoknya perasaanku pada masa itu.

     Entah mengapa pada hari-hari kemudiannya nasib tidak menyebelahiku pula. Disebabkan aku ingin memenangi wang yang lebih banyak, wang pertaruhan kami semakin meningkat. Malang tak berbau, pada hari itu aku bukan sahaja kalah semua wang pertaruhan yang ada padaku, malah telah berhutang sebanyak RM50.00. Tatkala itu, aku bukan sahaja tidak insaf tetapi tambah berani mencuri wang ibuku dari laci almari soleknya untuk membayar hutang tersebut. Sebahagian lagi aku jadikan wang pertaruhan yang baharu.

     Seperti biasa selepas balik dari sekolah, kami berkumpul di belakang rumah usang untuk berjudi. Wah, hari itu nasibku menjadi baik kembali! Semasa aku mengumpulkan wang kemenangan dari meja judi, tiba-tiba ada dalam kalangan rakanku yang berpekik, "Polis! Polis!"

     Dalam sekelip mata, mereka semua lari bertempiaran. Aku hanya terpaku di tempat dudukku tanpa berbuat apa-apa. Akibatnya, akulah satu-satunya kaki judi yang ditangkap oleh polis. Alangkah malunya aku ketika diiringi oleh anggota polis ke balai polis. Semua orang kampung berbaris di tepi jalan melihat gelagat seorang budak nakal ditangkap oleh polis. Setengah jam kemudian, ibu dan bapaku dengan wajah tua sayu pergi ke balai polis, menguruskan ikat jamin untuk membebaskan diriku.

     "Pak, mak, Onn berjanji tidak akan berjudi lagi." Tekadku sambil meminta maaf daripada ibu dan bapaku. Tang menghairankan aku, pada masa itu mereka langsung tidak memarahi aku. Namun, aku dapat merasakan, air mata mereka sedang mengalir ke dalam kolam hatinya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan