Lihat gambar di bawah. Tulis sebuah karangan tentang faktor tarikan kunjungan pengguna ke perpustakaan. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
RANGKA KARANGAN
Pendahuluan:
- membaca jambatan ilmu
- banyak perpustakaan disediakan
Isi:
- pelbagai bahan bacaan
- keselesaan di perpustakaan - mempunyai kemudahan Internet
Penutup:
- buku sebagai sumber ilmu
CONTOH KARANGAN
Membaca Jambatan Ilmu merupakan kata-kata hikmat yang sering tertera di mana-mana perpustakaan. Perpustakaan merupakan sebuah tempat yang menempatkan pelbagai pilihan buku kepada para penggemar ilmu. Galakan daripada pihak kerajaan sendiri ke arah membudayakan amalan membaca adalah dengan penubuhan perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak.
Antara faktor peningkatan pengguna sesebuah perpustakaan ialah kepelbagaian bahan bacaan yang terdapat di sana. Setiap individu mempunyai cita rasa yang berbeza. Kanak-kanak sudah tentu meminati buku cerita fiksyen dan bukan fiksyen. Manakala golongan dewasa inginkan pilihan buku seperti buku masakan untuk suri rumah, novel untuk golongan remaja dan buku ilmiah untuk golongan profesional.
Selain itu, faktor keselesaan yang terdapat di perpustakaan tersebut juga menjadi daya tarikan kepada pengunjung. Pengguna perpustakaan tentunya selesa sekiranya perpustakaan tersebut berhawa dingin. Mempunyai kemudahan Internet tutrut memudahkan orang ramai dalam pencarian maklumat, terutama pelajar sekolah dan IPT. Pendek kata, kemudahan yang ditawarkan mampu menarik kunjungan pengguna ke sesebuah perpustakaan.
Kesimpulannya, menjadikan buku sebagai pendamping yang setia tidak akan merugikan malah memberi kita ilmu yang berguna. Pihak kerajaan secara umumnya dan pihak berkuasa tempatan secara khususnya perlu menaik taraf perpustakaan yang terdapat di negara ini sebagai langkah menarik pengunjung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan