Carian

Memuatkan ...

Khamis, 27 Disember 2012

Suasana Di Pasar

Seperti biasa pada pagi Sabtu anda menemani ibu anda ke pasar. Sebaik-baik sahaja tiba di tempat itu, hujan turun dengan lebatnya. Gambarkan keadaan di pasar pada masa itu.

                                                                                                                                                                        

RANGKA KARANGAN

Permulaan:
  • Selalu membantu ibu dan bapa pergi ke pasar
Kemuncak:
  • Dalam perjalanan - cuaca berubah
  • Setibanya di pasar - hujan
  • Semua orang - bergegas masuk
  • Bau tubuh manusia
Penutup:
  • Meneruskan pembelian
  • Membiarkan hujan


CONTOH KARANGAN

Kasih ibu bawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa. Kalimah ini menjadi peganganku selagiku bernyawa. Disebabkan perasaan kasih terhadap ayah dan ibu, maka aku sering menemani ibu ke pasar pada setiap hujung minggu. Telah menjadi rutin ibu untuk ke pasar borong Selayang pada setiap pagi Sabtu selepas solat subuh. Aku yang ditugaskan membawa bakul setia menanti di dalam kereta Kancil milik ibu. Perjalanan ke pasar borong hanya mengambil masa 15 minit.

     Semasa dalam perjalanan ke pasar, aku perasan akan perubahan cuaca yang menandakan hari akan hujan. Kegusaran hati, aku suarakan kepada ibu, namun ibu membatukan diri. Sebaik sahaja tiba di hadapan pasar, kelihatan rintik-rintik hujan mula merejis membasahi bumi. Ibu meminta aku segera masuk ke dalam bangunan pasar. Tanpa melengahkan masa, aku mencapai bakul manakala ibu mencapai sekaki payung lalu bergegas lari ke arah pintu pasar.

     Vroom, vroom, vroom! Guruh mula kedengaran sekonyong-konyongnya. Angin monsun pula semakin bertiup kencang. Tempat yang kami berdiri tadi kelihatan semakin sempit jadinya. Hal ini disebabkan semua pelanggan pasar dari luar berebut-rebut untuk mencari tempat berteduh. Di luar pasar aku nampak penunggang motosikal dan basikal meletakkan kenderaan mereka dalam keadaan yang tergesa-gesa. Dalam masa kurang daripada dua minit kemudian, tempat kami berdiri tadi menjadi bagaikan "ikan sardin terhimpit di dalam tin".

     Kalau tadi bau hanyir menusuk ke dalam hidungku tetapi kini bermacam-macam jenis bau tubuh manusia pula menusuk ke dalam hidungku. Suara manusia berbual-bual semakin riuh-rendah. Senyuman mesra kelihatan pada wajah penjual ikan dan sayur. Apa tidaknya perniagaan mereka bertambah baik pada ketika ini.

     "Mari kita pergi ke gerai Pak Wang, beli ikan." Suara ibu mengejutkan aku yang sedang memerhatikan keadaan di pasar ikan yang basah itu. Di luar pasar basah dan orang ramai yang berlindung di dalam pasar pun basah. Aku mengekori ibu dari satu gerai ke satu gerai yang lain, sementara hujan terus turun dengan lebat di luar.






Rabu, 26 Disember 2012

Kempen Menanam Pokok Bunga Sekolah

Pada suatu petang, anda dan rakan anda pergi ke sekolah untuk menyertai kempen menanam pkok bunga di kawasan sekolah. Ceritakan pengalaman anda.

                                                                                                                                                                            

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Kempen menanam pokok bunga - keceriaan kawasan sekolah
Isi:
  • Persetujuan daripada ibu bapa - menyertai kempen menanam pokok bunga
  • Dibahagikan kepada beberapa kumpulan
  • Mula menebas lalang dan rerumput yang lain, mencangkul tanah, memindahkan batu-batu kecil
  • Membuat batas - benih - ranting - bunga kertas, bunga matahari
  • Memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh - penat
Penutup:
  • Hampir satu petang - walaupun letih - beberapa minggu yang akan datang - kawasan sekolah - cantik


CONTOH KARANGAN

Baru-baru ini sekolah kami telah menganjurkan satu kempen menanam pokok-pokok bunga di kawasan sekolah. Pihak sekolah menggalakan semua pelajar agar menyahut seruan kempen ini. Setelah memperoleh keizinan daripada ibu dan bapa, aku dan beberapa orang rakan telah menyertai kempen menanam pokok bunga ini.

     Guru bertugas telah membahagikan kami kepada beberapa kumpulan kecil. Kemudian, setiap kumpulan diberikan tugas yang spesifik. Kumpulan kami ditugaskan untuk menebas lalang dan mencabut rerumput di belakang dewan sekolah. Selepas beberapa minit berlalu, barulah aku sedar bahawa bukanlah senang untuk mencabut rumput. Selain memerlukan tenaga yang kuat, kami terpaksa berhati-hati agar tidak tercedera oleh duri atau benda tajam yang lain.

     Selain itu, kerjasama antara satu sama lain juga sangat penting. Tanpa kerjasama tidak mungkin aku seorang diri dapat memebersihkan satu kawasan yang begitu luas. Kami berhenti beristirahat sebaik sahaja berasa penat. Seluruh badanku basah kuyup dengan peluh.

     Selepas semua lalang dan rumput ditebas dan dicabut, kami mula membuang segala benda yang tidak berguna dari kawasan yang bakal kami tanam dengan pokok-pokok bunga. Setelah berpuas hati dengan kebersihan kawasan sekitarnya, kami mula melonggarkan tanah dengan menggunakan cangkul.

     Mencangkul tanah merupakan satu kerja yang amat berat. Namun, kami masih bekerja dalam keadaan riang. Kemudian kumpulan pelajar yang lain mula mencucuk batang pokok bunga kertas, batang pokok bunga raya, benih bunga matahari, dan bermacam-macam benih pokok bunga yang lain.. Beberapa orang pelajar pula datang menyiram air.

     Kami bertungkus-lumus sepanjang petang dalam menjayakan kempen menanam pokok-pokok bunga ini. Pihak sekolah telah menyediakan minuman ringan untuk menghilangkan dahaga kami. Semasa dalam perjalanan pulang, aku dapat bayangkan beberapa minggu yang akan datang sekolahku akan menjadi lebih cantik dan ceria.

Selasa, 4 Disember 2012

LIMA 2011, Langkawi

Anda telah berpeluang mengikuti lawatan ke LIMA 2011 di Langkawi. Ceritakan pengalaman anda sepanjang lawatan tersebut.

                                                                                                                                                                           

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Sekolah anjur lawatan ke Pulau Langkawi
Isi:
  • 25 murid dan 5 guru - bertolak 10 pagi - menginap di Sekolah Teknik
Penutup:
  • Hari terakhir - pulang waktu pagi - bangga

CONTOH KARANGAN

Pada cuti sekolah akhir tahun 2010 yang lalu, pihak sekolah saya telah menganjurkan lawatan ke Pulau Langkawi. Saya amat berminat untuk mengikuti program lawatan tersebut kerana salah satu agendanya ialah melawat ke pameran Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA). Langkah pertama yang perlu saya lakukan ialah mendapatkan keizinan daripada ayah dan ibu. Ayah dan ibu membenarkan saya pergi dengan pesanan agar pandai menjaga diri dan sentiasa mematuhi arahan guru pengiring.

     Rombongan lawatan kali ini disertai seramai 25 orang murif dan lima orang guru pengiring. Bas yang kami naiki bertolak pada jam 10.00 pagi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kangsar dan tiba di pula lagenda itu pada jam 5.00 petang. Pada malam itu, kami telah menginap di asrama Sekolah Menengah Teknik.

     Keesokan harinya, kami serombongan akan melawat ke pameran LIMA 2011 seperti yang dirancang. Bayaran sebanyak RM15 setiap seorang dikenakan kepada murid sekolah. Pihak penganjur tidak membenarkan para pengunjung membawa sebarang perakam seperti kamera, mungkin atas alasan keselamatan. Kelihatan pengunjung yang terdiri daripada peminat aeroangkasa dan maritim sedang meninjau-ninjau kapal terbang dan kapal laut dari seluruh dunia yang sedang dipamerkan. Setiap tempat pameran pasti terdapat seorang petugas yang bertindak memberi penerangan tentang peralatan dan fungsi setiap bahagian kapal. Saya tidak melepaskan peluang melawat kesemua kapal yang dipamerkan.

     Di suatu sudut pameran, terdapat pelbagai permainan peralatan aeroangkasa dan maritim yang boleh dicuba oleh pengunjung pameran. Saya turut mencuba permainan tersebut bagi melepaskan keinginan. Keseronokan yang dirasai amat melekakan saya hingga tidak sedar masa lawatan telah tamat dan semua pengunjung diminta meninggalkan kawasan pameran.

     Di luar kawasan pameran, kami berkumpul sebelum balik ke tempat penginapan. Hari kedua kami di Pulau Langkawi, saya dan ahli rombongan telah dibawa bersiar-siar di sekitar pulau. Saya telah merakamkan gambar kenangan di hadapan replika helang yang menjadi lambang kepada Pulau Langkawi. Saya juga membeli baju LIMA 2011 buat ayah, ibu, dan adik-adik sebagai buah tangan.

     Pada pagi hari terakhir lawatan, kami bertolak pulang ke Kuala Kangsar, Perak selepas sahaja bersarapan. Saya sangat berasa bangga kerana telah berjaya menjejakkan kaki di pameran LIMA 2011 dan tidak sabar untuk menceritakan kegembiraan ini kepada keluarga tersayang.


Mimpiku

Setiap orang pernah bermimpi. Ceritakan salah satu mimpi yang tidak akan anda lupa selama-lamanya.

                                                                                                                                                                          

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Beberapa bulan yang lalu - bermimpi - ada suara memanggil
Isi:
  • Berasa hairan - suara yang sama muncul - buat kali yang kedua
  • Bangun - bergerak ke arah dapur - cahaya bersinar-sinar - serupa dalam mimpi
  • Kejadian yang tidak diduga-duga - terkejut daripada mimpi - api merebak
Penutup:
  • Mengetahui puncanya - bagaimana pula dengan mimpi tadi?


CONTOH KARANGAN

Beberapa bulan yang lalu, aku telah bermimpi tentang sesuatu peristiwa yang akhirnya telah menjadi kenyataan dalam hidupku. Aku tidak mungkin lupa akan mimpi itu selema-lamanya. Ketika aku tidur nyenyak, tiba-tiba dalam mimpi aku terdengar satu suara yang memanggilku, "Onn, bangun, kuih pau yang dimasak oleh ibu kau di dapur telah masak."

     Pada mulanya aku terkejut apabila mendengar suara itu tetapi selepas itu aku tidur kembali. Beberapa minit kemudian suara yang sama terngiang-ngiang kembali di cuping telingaku. Kali ini, mataku terbelalak ke arah luar kelambu. "Bermimpikah aku ini?" bisikku dalam hati. Tatkala itu aku dapat hari belum siang lagi. Selain suara panggilan, gambaran api yang bernyala-nyala di dapur masih jelas dalam ingatanku. Ketika itu aku berasakan seakan-akan ada sesuatu kejadian yang aneh sedang berlaku terhadap diriku. Kalau tidak mengapakah suara panggilan yang sama muncul dalam mimpiku dua kali berturut-turut?

     Aku bergegas bangun dan turun dari katil. Langkahku menuju ke pintu kamar. Sebaik sahaja aku membuka pintu kamar, mataku bertemu dengan cahaya yang bersinar-sinar dari belakang rumah. "Eh, betullah ibu sedang memasak kuih pau di dapur?" Kali ini aku sangkakan ibu yang memanggilku tadi. Perutku mula berasa lapar lalu aku bergerak laju ke belakang rumah dengan harapan dapat memakan sebiji kuih pau yang masih panas.

     "A ... a ... a ..." mataku terbelalak sekali lagi diiringi dengan mulut yang ternganga. Aku ingin berteriak dengan sekuat-kuatnya tetapi aku tergamam lalu suaraku tidak kedengaran. Nasih baik aku masih berfikiran waras, cepat-cepar aku berlari masuk ke dalam bilik air yang terletak di sebelah dapur untuk mengambil sebaldi demi sebaldi air lalu menyiram ke arah api yang sedang marak. Akhirnya, aku berjaya memadamkan api yang sudah membakar sebahagian daripada dapurku.

     Ibu, bapa, dan adik-beradikku bangun agak lewat daripadaku. Kami dapati punca bala tadi disebabkan lampu minyak tanah yang terletak di dalam kotak memelihara anak-anak ayam telah terjatuh. Dari situlah api mula merebak. Namun, sehingga kini aku masih tertanya-tanya, siapakah yang mengejutkan aku daripada mimpi tersebut?

Isnin, 3 Disember 2012

Pertandingan Perbahasan Peringkat Sekolah

Persatuan Bahasa Malaysia yang anda sertai telah menganjurkan pertandingan perbahasan antara kelas peringkat sekolah anda. Anda telah dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa kecil penganjuran dalam perbahasan tersebut. Ceritakan pengalaman anda.

                                                                                                                                                                          

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Pertandingan perbahasan - dilantik sebagai ahli jawatankuasa hiasan pentas
Isi:
  • Harus berjiwa seni - lapan orang - guru pembimbing - bermula dengan sesi perbincangan
  • Membuat lakaran pentas - tunjuk ajar daripada guru Seni
  • Pecahkan pelajar kepada beberapa kumpulan - beri tugasan kepada mereka
  • Tema pentas - keindahan daripada tumbuh-tumbuhan
Penutup:
  • Mendapat pujian - guru dan rakan-rakan


CONTOH KARANGAN

Aku gemar menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Malaysia SMK Pekan. Kira-kira tiga bulan yang lalu, Persatuan Bahasa Malaysia sekolahku telah menganjurkan pertandingan perbahasan antara kelas. Dalam pertandingan perbahasan ini, aku terpilih sebagai salah seorang ahli jawatankuasa yang menyediakan hiasan pentas di dewan sekolah.

     Menghias pentas bukanlah satu kerja yang remeh. Mereka yang terlibat dalam kerja seperti ini juga haruslah berjiwa seni. Pertama, jawatankuasa kecil perhiasan pentas yang terdiri daripada lapan orang pelajar, dan Cikgu Hasbullah, guru Pendidikan Seni sekolah kami telah dilantik sebagai penasihat. Kami mengadakan sesi perbincangan terlebih dahulu.

     Dalam beberapa kali pertemuan itu, kami telah mula membuat lakaran kasar bagaimana pentas pertandingan itu harus dihiasi dengan cantik. Betapa bangganya diriku kali ini apabila ideaku telah diterima oleh ahli jawatankuasa yang lain.

     Pentas yang akan dibina bertemakan keindahan tumbuh-tumbuhan. Tidak seperti waktu dahulu, pentas hanya dihias dengan pokok-pokok dalam pasu. Kali ini aku memilih tumbuh-tumbuhan hutan.

     Aku dan Jayakrisnan ditugaskan untuk mencari bahan semula jadi seperti daun pokok pisang, buluh, dan daun pokok kelapa. Kami telah pergi ke rumah Pak Cik Yusof di Kampung Sena untuk mendapatkan bantuannya. Dengan jasa baik Pak Cik Yusoflah kami memperoleh daun pisang, daun pokok kelapa, dan batang buluh dengan percuma.

     Apabila kembali ke sekolah pada keesokan harinya, kami mula menghabiskan masa sepanjang hari untuk kerja-kerja menghias pentas dewan. Walaupun kerja-kerja tersebut agat memenatkan, namun kami tetap gembira melakukannya. "Cantiknya hiasan pentas ini" kata-kata pujian daripada guru-guru dan pelajar yang duduk berdekatan denganku pada hari pertandingan bahas menjadikan aku manusia yang paling bahagia pada ketika itu.

Jumaat, 30 November 2012

Hari Kebangsaan Malaysia Yang Ke-53

Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-53 tahun, anda telah berpeluang menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan tersebut. Ceritakan pengalaman anda.

                                                                                                                                                                            

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Ogos 2010 - Hari Kebangsaan ke-53
  • Bapa berjanji membawa kami ke Dataran Merdeka
Isi: 
  • Kami bertolak awal kerana jarak jauh dan mengelakkan kesesakan
  • Letak kereta jauh - banyak jalan ditutup - ayah membawa perakam video - duduk paling hadapan
  • 7.30 mula perarakan - pasukan beruniform - segak sekali
  • Pejuang veteran turut serta 
  • Perarakan kereta berhias oleh sektor korporat
Penutup:
  • Cuaca baik seakan-akan merestui sambutan pada pagi itu
  • Kami berasa gembira kerana dapat merayakannya


CONTOH KARANGAN

Menjelmanya bulan Ogos pada setiap tahun, pelbagai pihak tentunya bertungkus-lumus bagi menjayakan sambutan Hari Kebangsaan Negara kali ke-53 tahun. Sambutan Hari Kebangsaan tahun 2010 diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Bapa telah berjanji untuk membawa kami sekeluarga ke Dataran Merdeka bagi menyaksikan perarakan tersebut.

     Sebaik sahaja mengerjakan solat Subuh, saya telah bersiap-siap mengemaskan diri untuk bertolak ke sana. Disebabkan jarak rumah kami ke Dataran Merdeka agak jauh, kami terpaksa bertolak awal pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mendapat tempat yang strategik untuk menonton.

     Sebaik sahaja tiba di sana, kereta kami terpaksa diletakkan agak jauh kerana banyak jalan telah ditutup. Bapa saya telah membawa bersama perakam video untuk merakan detik-detik bersejarah selapas negara kita merdeka selama 53 tahun. Saya dan bapa telah mengambil tempat duduk yang paling hadapan. Kelihatan di pentas utama dif-dif kehormat, iaitu Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan menteri-menteri Malaysia.

     Tepat jam 7.30 pagi, perarakan dimulakan dengan kumpulan pancaragam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria. Diikuti dengan pasukan beruniform seperti Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut dan Udara, dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia. MEreka semua kelihatan gagah perkasa dengan pakaian seragam masing-masing.

     Yang paling istimewa pada tahun ini ialah kehadiran kumpulan pejuang veteran negara. Kebanyakan mereka telah melebihi usia 70-an, namun masih mampu berjalan sepanjang perarakan demi negara. Selain itu, perarakan kemerdekaan pada kali ini juga disetai kakitangan kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran dan pihak swasta serta sektor korporat. Terdapat juga perarakan kereta berhias oleh Petronas yang mempamerkan bunga raya sebagai bunga kebangsaan negara. Mereka menggunakan pelbagai bunga hidup sebagai hiasan.

     Suasana pagi yang cerah seakan-akan merestui sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-53 pada tahun ini. Perarakan berakhir pada jam 10.30 pagi dan semua orang beredar untuk pulang. Kami sekeluarga turut meninggalkan kawasan dataran dengan hati yang cukup puas. Saya berasa gembira sekali kerana dapat menyaksikan Hari Kemerdekaan negara yang ke-53 secara langsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Projek Anak Angkat Anjuran Kementerian Pelajaran

Pada cuti semester yang lalu, anda telah terpilih mengikuti projek anak angkat anjuran Kementerian  Pelajaran. Tulis pengalaman anda semasa mengikuti projek tersebut.

                                                                                                                                                                           

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Tarikh bertolak dan perasaan apabila terpilih
Isi:
  • Suasana dalam perjalanan - menyanyi gembira
  • Tiba di destinasi - letih tetapi perjalanan yang menarik
  • Berjumpa dengan keluarga angkat masing-masing
  • Tinggal bersama keluarga angkat - pengalaman menarik - mengetahui kehidupan sebenar keluarga nelayan
Penutup:
  • Bertolak balik ke Kuala Lumpur
  • Perasaan berpisah dengan keluarga angkat


CONTOH KARANGAN

Dalam perhimpunan rasmi sekolah, Cikgu Hazni telah mengumumkan tawaran mengikuti program anak angkat anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia. Tawaran tersebut terbuka kepada semua murid sekolah menengah di Kuala Lumpur. Program anak angkat kali ini akan dijalankan di perkampungan nelayan di Kuala Muda di negeri Kedah. Murid-murid sekolah di Kuala Lumpur akan berpeluang mengenali dan merasai pahit maung sebagai seorang nelayan.

     Makluman daripada Cikgu Hazni terlebih dahulu saya sampaikan kepada ayah dan ibu untuk memohon kebenaran. Pelbagai syarat dan nasihat telah ayah berikan kepada saya mungkin kerana baru kali ini saya akan berjauhan dengan mereka. Surat kebenaran telah ditandatangani oleh ayah, saya serahkan kembali kepada Cikgu Hazni selaku penyelaras program.

     Menjelangnya cuti pertengahan tahun 2011, saya bersama tiga puluh orang murif dari pelbagai sekolah di Kuala Lumpur bertolak ke Kedah melalui lebuh raya Utara-Selatan. Perasaan teruja tidak dapat disembunyikan lagi daripada raut wajah masing-masing. Riak kegembiraan menyelubungi suasana di dalam bas ekspres dua tingkat Sani Ekspres.

     Apabila tiba di destinasi, iaitu Kuala Muda, Kedah kami berasa amat letih kerana perjalanan yang jauh, namun hati kami tetap gembira. Kami telah disambut oleh penduduk kampung dan diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Saya, Aimi, dan Dahlia telah dijadikan anak angkat kepada Pak Cik Jamal dan Mak Cik Limah. Mereka mempunyai dua orang anak, iaitu Laila dan Afiq. Selepas itu kami telah dibawa balik oleh keluarga angkat masing-masing.

     Sepanjang lima hari berada di rumah keluarga angkat, saya telah belajar tentang kehidupan seorang nelayan, iaitu bermula daripada peralatan menangkap ikan hinggalah kepada suka duka kehidupan sebagai nelayan. Apa yang dapat saya pelajari ialah walaupun hidup mereka "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang", namun kebahagiaan menyelubungi keluarga mereka. Kesempitan kewangan paling ketara, iaitu pada musim tengkujuh setiap tahun. Pada waktu ini mereka terpaksa membuat kerja lain seperti menganyam tikar atau menjual kuih kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan mereka turun ke laut.

     Semasa berada di rumah mereka, saya dapat merasa masakan ikan bakar yang masih segar dicecah dengan air asam, ikan keingm dan keropok. Saya dan dua orang rakan turut membantu Mak Cik Limah membuat keropok dan ikan kering.

     Pada hari terakhir sebelum bertolak balik, saya telah dibekalkan keropok dan ikan kering untuk dibawa pulang. Walaupun masa bersama mereka agak singkat, namun perpisahan kami tetap diiringi dengan air mata kesedihan. Saya berjanji jika masa mengizinkan, saya akan datang lagi ke rumah mereka.