Persatuan Bahasa Malaysia yang anda sertai telah menganjurkan pertandingan perbahasan antara kelas peringkat sekolah anda. Anda telah dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa kecil penganjuran dalam perbahasan tersebut. Ceritakan pengalaman anda.
RANGKA KARANGAN
Pendahuluan:
- Pertandingan perbahasan - dilantik sebagai ahli jawatankuasa hiasan pentas
Isi:
- Harus berjiwa seni - lapan orang - guru pembimbing - bermula dengan sesi perbincangan
- Membuat lakaran pentas - tunjuk ajar daripada guru Seni
- Pecahkan pelajar kepada beberapa kumpulan - beri tugasan kepada mereka
- Tema pentas - keindahan daripada tumbuh-tumbuhan
Penutup:
- Mendapat pujian - guru dan rakan-rakan
CONTOH KARANGAN
Aku gemar menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Malaysia SMK Pekan. Kira-kira tiga bulan yang lalu, Persatuan Bahasa Malaysia sekolahku telah menganjurkan pertandingan perbahasan antara kelas. Dalam pertandingan perbahasan ini, aku terpilih sebagai salah seorang ahli jawatankuasa yang menyediakan hiasan pentas di dewan sekolah.
Menghias pentas bukanlah satu kerja yang remeh. Mereka yang terlibat dalam kerja seperti ini juga haruslah berjiwa seni. Pertama, jawatankuasa kecil perhiasan pentas yang terdiri daripada lapan orang pelajar, dan Cikgu Hasbullah, guru Pendidikan Seni sekolah kami telah dilantik sebagai penasihat. Kami mengadakan sesi perbincangan terlebih dahulu.
Dalam beberapa kali pertemuan itu, kami telah mula membuat lakaran kasar bagaimana pentas pertandingan itu harus dihiasi dengan cantik. Betapa bangganya diriku kali ini apabila ideaku telah diterima oleh ahli jawatankuasa yang lain.
Pentas yang akan dibina bertemakan keindahan tumbuh-tumbuhan. Tidak seperti waktu dahulu, pentas hanya dihias dengan pokok-pokok dalam pasu. Kali ini aku memilih tumbuh-tumbuhan hutan.
Aku dan Jayakrisnan ditugaskan untuk mencari bahan semula jadi seperti daun pokok pisang, buluh, dan daun pokok kelapa. Kami telah pergi ke rumah Pak Cik Yusof di Kampung Sena untuk mendapatkan bantuannya. Dengan jasa baik Pak Cik Yusoflah kami memperoleh daun pisang, daun pokok kelapa, dan batang buluh dengan percuma.
Apabila kembali ke sekolah pada keesokan harinya, kami mula menghabiskan masa sepanjang hari untuk kerja-kerja menghias pentas dewan. Walaupun kerja-kerja tersebut agat memenatkan, namun kami tetap gembira melakukannya. "Cantiknya hiasan pentas ini" kata-kata pujian daripada guru-guru dan pelajar yang duduk berdekatan denganku pada hari pertandingan bahas menjadikan aku manusia yang paling bahagia pada ketika itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan