Carian

Khamis, 27 Disember 2012

Suasana Di Pasar

Seperti biasa pada pagi Sabtu anda menemani ibu anda ke pasar. Sebaik-baik sahaja tiba di tempat itu, hujan turun dengan lebatnya. Gambarkan keadaan di pasar pada masa itu.

                                                                                                                                                                        

RANGKA KARANGAN

Permulaan:
  • Selalu membantu ibu dan bapa pergi ke pasar
Kemuncak:
  • Dalam perjalanan - cuaca berubah
  • Setibanya di pasar - hujan
  • Semua orang - bergegas masuk
  • Bau tubuh manusia
Penutup:
  • Meneruskan pembelian
  • Membiarkan hujan


CONTOH KARANGAN

Kasih ibu bawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa. Kalimah ini menjadi peganganku selagiku bernyawa. Disebabkan perasaan kasih terhadap ayah dan ibu, maka aku sering menemani ibu ke pasar pada setiap hujung minggu. Telah menjadi rutin ibu untuk ke pasar borong Selayang pada setiap pagi Sabtu selepas solat subuh. Aku yang ditugaskan membawa bakul setia menanti di dalam kereta Kancil milik ibu. Perjalanan ke pasar borong hanya mengambil masa 15 minit.

     Semasa dalam perjalanan ke pasar, aku perasan akan perubahan cuaca yang menandakan hari akan hujan. Kegusaran hati, aku suarakan kepada ibu, namun ibu membatukan diri. Sebaik sahaja tiba di hadapan pasar, kelihatan rintik-rintik hujan mula merejis membasahi bumi. Ibu meminta aku segera masuk ke dalam bangunan pasar. Tanpa melengahkan masa, aku mencapai bakul manakala ibu mencapai sekaki payung lalu bergegas lari ke arah pintu pasar.

     Vroom, vroom, vroom! Guruh mula kedengaran sekonyong-konyongnya. Angin monsun pula semakin bertiup kencang. Tempat yang kami berdiri tadi kelihatan semakin sempit jadinya. Hal ini disebabkan semua pelanggan pasar dari luar berebut-rebut untuk mencari tempat berteduh. Di luar pasar aku nampak penunggang motosikal dan basikal meletakkan kenderaan mereka dalam keadaan yang tergesa-gesa. Dalam masa kurang daripada dua minit kemudian, tempat kami berdiri tadi menjadi bagaikan "ikan sardin terhimpit di dalam tin".

     Kalau tadi bau hanyir menusuk ke dalam hidungku tetapi kini bermacam-macam jenis bau tubuh manusia pula menusuk ke dalam hidungku. Suara manusia berbual-bual semakin riuh-rendah. Senyuman mesra kelihatan pada wajah penjual ikan dan sayur. Apa tidaknya perniagaan mereka bertambah baik pada ketika ini.

     "Mari kita pergi ke gerai Pak Wang, beli ikan." Suara ibu mengejutkan aku yang sedang memerhatikan keadaan di pasar ikan yang basah itu. Di luar pasar basah dan orang ramai yang berlindung di dalam pasar pun basah. Aku mengekori ibu dari satu gerai ke satu gerai yang lain, sementara hujan terus turun dengan lebat di luar.






Rabu, 26 Disember 2012

Kempen Menanam Pokok Bunga Sekolah

Pada suatu petang, anda dan rakan anda pergi ke sekolah untuk menyertai kempen menanam pkok bunga di kawasan sekolah. Ceritakan pengalaman anda.

                                                                                                                                                                            

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Kempen menanam pokok bunga - keceriaan kawasan sekolah
Isi:
  • Persetujuan daripada ibu bapa - menyertai kempen menanam pokok bunga
  • Dibahagikan kepada beberapa kumpulan
  • Mula menebas lalang dan rerumput yang lain, mencangkul tanah, memindahkan batu-batu kecil
  • Membuat batas - benih - ranting - bunga kertas, bunga matahari
  • Memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh - penat
Penutup:
  • Hampir satu petang - walaupun letih - beberapa minggu yang akan datang - kawasan sekolah - cantik


CONTOH KARANGAN

Baru-baru ini sekolah kami telah menganjurkan satu kempen menanam pokok-pokok bunga di kawasan sekolah. Pihak sekolah menggalakan semua pelajar agar menyahut seruan kempen ini. Setelah memperoleh keizinan daripada ibu dan bapa, aku dan beberapa orang rakan telah menyertai kempen menanam pokok bunga ini.

     Guru bertugas telah membahagikan kami kepada beberapa kumpulan kecil. Kemudian, setiap kumpulan diberikan tugas yang spesifik. Kumpulan kami ditugaskan untuk menebas lalang dan mencabut rerumput di belakang dewan sekolah. Selepas beberapa minit berlalu, barulah aku sedar bahawa bukanlah senang untuk mencabut rumput. Selain memerlukan tenaga yang kuat, kami terpaksa berhati-hati agar tidak tercedera oleh duri atau benda tajam yang lain.

     Selain itu, kerjasama antara satu sama lain juga sangat penting. Tanpa kerjasama tidak mungkin aku seorang diri dapat memebersihkan satu kawasan yang begitu luas. Kami berhenti beristirahat sebaik sahaja berasa penat. Seluruh badanku basah kuyup dengan peluh.

     Selepas semua lalang dan rumput ditebas dan dicabut, kami mula membuang segala benda yang tidak berguna dari kawasan yang bakal kami tanam dengan pokok-pokok bunga. Setelah berpuas hati dengan kebersihan kawasan sekitarnya, kami mula melonggarkan tanah dengan menggunakan cangkul.

     Mencangkul tanah merupakan satu kerja yang amat berat. Namun, kami masih bekerja dalam keadaan riang. Kemudian kumpulan pelajar yang lain mula mencucuk batang pokok bunga kertas, batang pokok bunga raya, benih bunga matahari, dan bermacam-macam benih pokok bunga yang lain.. Beberapa orang pelajar pula datang menyiram air.

     Kami bertungkus-lumus sepanjang petang dalam menjayakan kempen menanam pokok-pokok bunga ini. Pihak sekolah telah menyediakan minuman ringan untuk menghilangkan dahaga kami. Semasa dalam perjalanan pulang, aku dapat bayangkan beberapa minggu yang akan datang sekolahku akan menjadi lebih cantik dan ceria.

Selasa, 4 Disember 2012

LIMA 2011, Langkawi

Anda telah berpeluang mengikuti lawatan ke LIMA 2011 di Langkawi. Ceritakan pengalaman anda sepanjang lawatan tersebut.

                                                                                                                                                                           

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Sekolah anjur lawatan ke Pulau Langkawi
Isi:
  • 25 murid dan 5 guru - bertolak 10 pagi - menginap di Sekolah Teknik
Penutup:
  • Hari terakhir - pulang waktu pagi - bangga

CONTOH KARANGAN

Pada cuti sekolah akhir tahun 2010 yang lalu, pihak sekolah saya telah menganjurkan lawatan ke Pulau Langkawi. Saya amat berminat untuk mengikuti program lawatan tersebut kerana salah satu agendanya ialah melawat ke pameran Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA). Langkah pertama yang perlu saya lakukan ialah mendapatkan keizinan daripada ayah dan ibu. Ayah dan ibu membenarkan saya pergi dengan pesanan agar pandai menjaga diri dan sentiasa mematuhi arahan guru pengiring.

     Rombongan lawatan kali ini disertai seramai 25 orang murif dan lima orang guru pengiring. Bas yang kami naiki bertolak pada jam 10.00 pagi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kangsar dan tiba di pula lagenda itu pada jam 5.00 petang. Pada malam itu, kami telah menginap di asrama Sekolah Menengah Teknik.

     Keesokan harinya, kami serombongan akan melawat ke pameran LIMA 2011 seperti yang dirancang. Bayaran sebanyak RM15 setiap seorang dikenakan kepada murid sekolah. Pihak penganjur tidak membenarkan para pengunjung membawa sebarang perakam seperti kamera, mungkin atas alasan keselamatan. Kelihatan pengunjung yang terdiri daripada peminat aeroangkasa dan maritim sedang meninjau-ninjau kapal terbang dan kapal laut dari seluruh dunia yang sedang dipamerkan. Setiap tempat pameran pasti terdapat seorang petugas yang bertindak memberi penerangan tentang peralatan dan fungsi setiap bahagian kapal. Saya tidak melepaskan peluang melawat kesemua kapal yang dipamerkan.

     Di suatu sudut pameran, terdapat pelbagai permainan peralatan aeroangkasa dan maritim yang boleh dicuba oleh pengunjung pameran. Saya turut mencuba permainan tersebut bagi melepaskan keinginan. Keseronokan yang dirasai amat melekakan saya hingga tidak sedar masa lawatan telah tamat dan semua pengunjung diminta meninggalkan kawasan pameran.

     Di luar kawasan pameran, kami berkumpul sebelum balik ke tempat penginapan. Hari kedua kami di Pulau Langkawi, saya dan ahli rombongan telah dibawa bersiar-siar di sekitar pulau. Saya telah merakamkan gambar kenangan di hadapan replika helang yang menjadi lambang kepada Pulau Langkawi. Saya juga membeli baju LIMA 2011 buat ayah, ibu, dan adik-adik sebagai buah tangan.

     Pada pagi hari terakhir lawatan, kami bertolak pulang ke Kuala Kangsar, Perak selepas sahaja bersarapan. Saya sangat berasa bangga kerana telah berjaya menjejakkan kaki di pameran LIMA 2011 dan tidak sabar untuk menceritakan kegembiraan ini kepada keluarga tersayang.


Mimpiku

Setiap orang pernah bermimpi. Ceritakan salah satu mimpi yang tidak akan anda lupa selama-lamanya.

                                                                                                                                                                          

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Beberapa bulan yang lalu - bermimpi - ada suara memanggil
Isi:
  • Berasa hairan - suara yang sama muncul - buat kali yang kedua
  • Bangun - bergerak ke arah dapur - cahaya bersinar-sinar - serupa dalam mimpi
  • Kejadian yang tidak diduga-duga - terkejut daripada mimpi - api merebak
Penutup:
  • Mengetahui puncanya - bagaimana pula dengan mimpi tadi?


CONTOH KARANGAN

Beberapa bulan yang lalu, aku telah bermimpi tentang sesuatu peristiwa yang akhirnya telah menjadi kenyataan dalam hidupku. Aku tidak mungkin lupa akan mimpi itu selema-lamanya. Ketika aku tidur nyenyak, tiba-tiba dalam mimpi aku terdengar satu suara yang memanggilku, "Onn, bangun, kuih pau yang dimasak oleh ibu kau di dapur telah masak."

     Pada mulanya aku terkejut apabila mendengar suara itu tetapi selepas itu aku tidur kembali. Beberapa minit kemudian suara yang sama terngiang-ngiang kembali di cuping telingaku. Kali ini, mataku terbelalak ke arah luar kelambu. "Bermimpikah aku ini?" bisikku dalam hati. Tatkala itu aku dapat hari belum siang lagi. Selain suara panggilan, gambaran api yang bernyala-nyala di dapur masih jelas dalam ingatanku. Ketika itu aku berasakan seakan-akan ada sesuatu kejadian yang aneh sedang berlaku terhadap diriku. Kalau tidak mengapakah suara panggilan yang sama muncul dalam mimpiku dua kali berturut-turut?

     Aku bergegas bangun dan turun dari katil. Langkahku menuju ke pintu kamar. Sebaik sahaja aku membuka pintu kamar, mataku bertemu dengan cahaya yang bersinar-sinar dari belakang rumah. "Eh, betullah ibu sedang memasak kuih pau di dapur?" Kali ini aku sangkakan ibu yang memanggilku tadi. Perutku mula berasa lapar lalu aku bergerak laju ke belakang rumah dengan harapan dapat memakan sebiji kuih pau yang masih panas.

     "A ... a ... a ..." mataku terbelalak sekali lagi diiringi dengan mulut yang ternganga. Aku ingin berteriak dengan sekuat-kuatnya tetapi aku tergamam lalu suaraku tidak kedengaran. Nasih baik aku masih berfikiran waras, cepat-cepar aku berlari masuk ke dalam bilik air yang terletak di sebelah dapur untuk mengambil sebaldi demi sebaldi air lalu menyiram ke arah api yang sedang marak. Akhirnya, aku berjaya memadamkan api yang sudah membakar sebahagian daripada dapurku.

     Ibu, bapa, dan adik-beradikku bangun agak lewat daripadaku. Kami dapati punca bala tadi disebabkan lampu minyak tanah yang terletak di dalam kotak memelihara anak-anak ayam telah terjatuh. Dari situlah api mula merebak. Namun, sehingga kini aku masih tertanya-tanya, siapakah yang mengejutkan aku daripada mimpi tersebut?

Isnin, 3 Disember 2012

Pertandingan Perbahasan Peringkat Sekolah

Persatuan Bahasa Malaysia yang anda sertai telah menganjurkan pertandingan perbahasan antara kelas peringkat sekolah anda. Anda telah dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa kecil penganjuran dalam perbahasan tersebut. Ceritakan pengalaman anda.

                                                                                                                                                                          

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Pertandingan perbahasan - dilantik sebagai ahli jawatankuasa hiasan pentas
Isi:
  • Harus berjiwa seni - lapan orang - guru pembimbing - bermula dengan sesi perbincangan
  • Membuat lakaran pentas - tunjuk ajar daripada guru Seni
  • Pecahkan pelajar kepada beberapa kumpulan - beri tugasan kepada mereka
  • Tema pentas - keindahan daripada tumbuh-tumbuhan
Penutup:
  • Mendapat pujian - guru dan rakan-rakan


CONTOH KARANGAN

Aku gemar menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Malaysia SMK Pekan. Kira-kira tiga bulan yang lalu, Persatuan Bahasa Malaysia sekolahku telah menganjurkan pertandingan perbahasan antara kelas. Dalam pertandingan perbahasan ini, aku terpilih sebagai salah seorang ahli jawatankuasa yang menyediakan hiasan pentas di dewan sekolah.

     Menghias pentas bukanlah satu kerja yang remeh. Mereka yang terlibat dalam kerja seperti ini juga haruslah berjiwa seni. Pertama, jawatankuasa kecil perhiasan pentas yang terdiri daripada lapan orang pelajar, dan Cikgu Hasbullah, guru Pendidikan Seni sekolah kami telah dilantik sebagai penasihat. Kami mengadakan sesi perbincangan terlebih dahulu.

     Dalam beberapa kali pertemuan itu, kami telah mula membuat lakaran kasar bagaimana pentas pertandingan itu harus dihiasi dengan cantik. Betapa bangganya diriku kali ini apabila ideaku telah diterima oleh ahli jawatankuasa yang lain.

     Pentas yang akan dibina bertemakan keindahan tumbuh-tumbuhan. Tidak seperti waktu dahulu, pentas hanya dihias dengan pokok-pokok dalam pasu. Kali ini aku memilih tumbuh-tumbuhan hutan.

     Aku dan Jayakrisnan ditugaskan untuk mencari bahan semula jadi seperti daun pokok pisang, buluh, dan daun pokok kelapa. Kami telah pergi ke rumah Pak Cik Yusof di Kampung Sena untuk mendapatkan bantuannya. Dengan jasa baik Pak Cik Yusoflah kami memperoleh daun pisang, daun pokok kelapa, dan batang buluh dengan percuma.

     Apabila kembali ke sekolah pada keesokan harinya, kami mula menghabiskan masa sepanjang hari untuk kerja-kerja menghias pentas dewan. Walaupun kerja-kerja tersebut agat memenatkan, namun kami tetap gembira melakukannya. "Cantiknya hiasan pentas ini" kata-kata pujian daripada guru-guru dan pelajar yang duduk berdekatan denganku pada hari pertandingan bahas menjadikan aku manusia yang paling bahagia pada ketika itu.

Jumaat, 30 November 2012

Hari Kebangsaan Malaysia Yang Ke-53

Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-53 tahun, anda telah berpeluang menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan tersebut. Ceritakan pengalaman anda.

                                                                                                                                                                            

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Ogos 2010 - Hari Kebangsaan ke-53
  • Bapa berjanji membawa kami ke Dataran Merdeka
Isi: 
  • Kami bertolak awal kerana jarak jauh dan mengelakkan kesesakan
  • Letak kereta jauh - banyak jalan ditutup - ayah membawa perakam video - duduk paling hadapan
  • 7.30 mula perarakan - pasukan beruniform - segak sekali
  • Pejuang veteran turut serta 
  • Perarakan kereta berhias oleh sektor korporat
Penutup:
  • Cuaca baik seakan-akan merestui sambutan pada pagi itu
  • Kami berasa gembira kerana dapat merayakannya


CONTOH KARANGAN

Menjelmanya bulan Ogos pada setiap tahun, pelbagai pihak tentunya bertungkus-lumus bagi menjayakan sambutan Hari Kebangsaan Negara kali ke-53 tahun. Sambutan Hari Kebangsaan tahun 2010 diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Bapa telah berjanji untuk membawa kami sekeluarga ke Dataran Merdeka bagi menyaksikan perarakan tersebut.

     Sebaik sahaja mengerjakan solat Subuh, saya telah bersiap-siap mengemaskan diri untuk bertolak ke sana. Disebabkan jarak rumah kami ke Dataran Merdeka agak jauh, kami terpaksa bertolak awal pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mendapat tempat yang strategik untuk menonton.

     Sebaik sahaja tiba di sana, kereta kami terpaksa diletakkan agak jauh kerana banyak jalan telah ditutup. Bapa saya telah membawa bersama perakam video untuk merakan detik-detik bersejarah selapas negara kita merdeka selama 53 tahun. Saya dan bapa telah mengambil tempat duduk yang paling hadapan. Kelihatan di pentas utama dif-dif kehormat, iaitu Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan menteri-menteri Malaysia.

     Tepat jam 7.30 pagi, perarakan dimulakan dengan kumpulan pancaragam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria. Diikuti dengan pasukan beruniform seperti Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut dan Udara, dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia. MEreka semua kelihatan gagah perkasa dengan pakaian seragam masing-masing.

     Yang paling istimewa pada tahun ini ialah kehadiran kumpulan pejuang veteran negara. Kebanyakan mereka telah melebihi usia 70-an, namun masih mampu berjalan sepanjang perarakan demi negara. Selain itu, perarakan kemerdekaan pada kali ini juga disetai kakitangan kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran dan pihak swasta serta sektor korporat. Terdapat juga perarakan kereta berhias oleh Petronas yang mempamerkan bunga raya sebagai bunga kebangsaan negara. Mereka menggunakan pelbagai bunga hidup sebagai hiasan.

     Suasana pagi yang cerah seakan-akan merestui sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-53 pada tahun ini. Perarakan berakhir pada jam 10.30 pagi dan semua orang beredar untuk pulang. Kami sekeluarga turut meninggalkan kawasan dataran dengan hati yang cukup puas. Saya berasa gembira sekali kerana dapat menyaksikan Hari Kemerdekaan negara yang ke-53 secara langsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Projek Anak Angkat Anjuran Kementerian Pelajaran

Pada cuti semester yang lalu, anda telah terpilih mengikuti projek anak angkat anjuran Kementerian  Pelajaran. Tulis pengalaman anda semasa mengikuti projek tersebut.

                                                                                                                                                                           

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Tarikh bertolak dan perasaan apabila terpilih
Isi:
  • Suasana dalam perjalanan - menyanyi gembira
  • Tiba di destinasi - letih tetapi perjalanan yang menarik
  • Berjumpa dengan keluarga angkat masing-masing
  • Tinggal bersama keluarga angkat - pengalaman menarik - mengetahui kehidupan sebenar keluarga nelayan
Penutup:
  • Bertolak balik ke Kuala Lumpur
  • Perasaan berpisah dengan keluarga angkat


CONTOH KARANGAN

Dalam perhimpunan rasmi sekolah, Cikgu Hazni telah mengumumkan tawaran mengikuti program anak angkat anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia. Tawaran tersebut terbuka kepada semua murid sekolah menengah di Kuala Lumpur. Program anak angkat kali ini akan dijalankan di perkampungan nelayan di Kuala Muda di negeri Kedah. Murid-murid sekolah di Kuala Lumpur akan berpeluang mengenali dan merasai pahit maung sebagai seorang nelayan.

     Makluman daripada Cikgu Hazni terlebih dahulu saya sampaikan kepada ayah dan ibu untuk memohon kebenaran. Pelbagai syarat dan nasihat telah ayah berikan kepada saya mungkin kerana baru kali ini saya akan berjauhan dengan mereka. Surat kebenaran telah ditandatangani oleh ayah, saya serahkan kembali kepada Cikgu Hazni selaku penyelaras program.

     Menjelangnya cuti pertengahan tahun 2011, saya bersama tiga puluh orang murif dari pelbagai sekolah di Kuala Lumpur bertolak ke Kedah melalui lebuh raya Utara-Selatan. Perasaan teruja tidak dapat disembunyikan lagi daripada raut wajah masing-masing. Riak kegembiraan menyelubungi suasana di dalam bas ekspres dua tingkat Sani Ekspres.

     Apabila tiba di destinasi, iaitu Kuala Muda, Kedah kami berasa amat letih kerana perjalanan yang jauh, namun hati kami tetap gembira. Kami telah disambut oleh penduduk kampung dan diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Saya, Aimi, dan Dahlia telah dijadikan anak angkat kepada Pak Cik Jamal dan Mak Cik Limah. Mereka mempunyai dua orang anak, iaitu Laila dan Afiq. Selepas itu kami telah dibawa balik oleh keluarga angkat masing-masing.

     Sepanjang lima hari berada di rumah keluarga angkat, saya telah belajar tentang kehidupan seorang nelayan, iaitu bermula daripada peralatan menangkap ikan hinggalah kepada suka duka kehidupan sebagai nelayan. Apa yang dapat saya pelajari ialah walaupun hidup mereka "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang", namun kebahagiaan menyelubungi keluarga mereka. Kesempitan kewangan paling ketara, iaitu pada musim tengkujuh setiap tahun. Pada waktu ini mereka terpaksa membuat kerja lain seperti menganyam tikar atau menjual kuih kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan mereka turun ke laut.

     Semasa berada di rumah mereka, saya dapat merasa masakan ikan bakar yang masih segar dicecah dengan air asam, ikan keingm dan keropok. Saya dan dua orang rakan turut membantu Mak Cik Limah membuat keropok dan ikan kering.

     Pada hari terakhir sebelum bertolak balik, saya telah dibekalkan keropok dan ikan kering untuk dibawa pulang. Walaupun masa bersama mereka agak singkat, namun perpisahan kami tetap diiringi dengan air mata kesedihan. Saya berjanji jika masa mengizinkan, saya akan datang lagi ke rumah mereka.

Penceritaan / Cereka 1

Pada suatu hari, dalam perjalanan pulang daripada bermain bola tampar, anda dan adik anda telaah memetik buah rambutan di sebuah dusun tanpa kebenaran pemiliknya. Anda nyaris-nyaris ditangkap oleh pemiliknya. tulis pengalaman anda itu.

                                                                                                                                                                             

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:

  • Pulag daripad bermain bola tampar
Isi:
  • Bercadang memetik buah rambutan yang berjuntai di sebuah dusun
  • Masuk ke dusun tanpa kebenaran
  • Tiba-tiba pemilik dusun muncul
  • Adik sempat lari - aku terpaku
  • Terjun dari pokok
Penutup:
  • Minta maaf daripada tuan punya dusun


CONTOH KARANGAN

     Setiap tahun apabila menjelangnya musim buah-buahan, memori semasa zaman kanak-kanak pasti menggamit rasa. Kenangan tersebut pada mulanya agak pahit menjadi kenangan indah apabila dikenang semula. Sekembalinya daripada latihan bermain bola tampar di sekolah, aku dan adikku mengayuh basikal dengan longlainya akibat keletihan. Perjalanan dari sekolah ke rumah mengambil masa hampir setengah jam.

     Di pertengahan perjalanan ke rumah, kami melalui kawasan dusun buah-buahan. Rimbunan warna kemerahan di hujung dalam menarik perhatian kami berdua. Kelihatan buah rambutan yang sedang masak ranum di setiap pokok di tepi jalan dusun. Tanpa memikirkan akibatnya, aku mencadangkan adikku untuk memetik buah rambutan bagi mengalas perut yang sememangnya sedang lapar.

     Kami memerhati sekeliling kawasan dusun. Tidak kelihatan kelibat manusia. Tanpa melengahkan masa, aku terus memanjat pokok sementara adikku yang berada di bawah pokok memungut buah rambutan tersebut. Di samping itu, aku dan adik sempat juga makan buah rambutan dengan lahapnya.

     Tiba-tiba kedengaran bunyi seperti ranting kayu dipijak orang. Bunyi tersebut semakin jelas kedengaran. Serentak dengan itu juga adikku melaung "Abang, lari!"

     Aku terpaku seketika. Dalam keadaan tidak keruan itu sempat juga aku melihat semakin seorang tua yang berusia dalam lingkungan 60-an menuju ke arah kami. Tanpa berlengah lagi, aku pun terjun ke tanah dan mencapai basikal kami yang disandarkan pada batang pokok. Aku lihat adikku telah jauh meninggalkanku. Aku mengayuh basikal dengan sepenuh tenaga tanpa menoleh ke belankang lagi.

     Lelaki itu ialah tuan punya dusun. Namanya Pak Akob. Pak Akob terkenal di kampung itu kerana mempunyai dusun buah-buahan yang sangat luas. Apabila tiba di rumah, aku dan adik tercungap-cungap kerana keletihan. Aku bersyukur kerana sempat melarikan diri, walaupun tidak sempat membawa balik sebiji rambutan pun.

     Pada keesokan harinya aku dan adik pergi berjumpa dengan Pak Akob untuk memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Pak Akob memaafkan kami dan menasihati kami agar tidak mencuri lagi. Pak Akob turut menghadiahi kami seikat rambutan untuk dibawa pulang. Pengalaman tersebut mengajar aku agar tidak melakukan perbuatan yang tidak baik. Biarlah peristiwa itu menjadi kenangan untuk diceritakan kepada anak-anakku nanti.

Selasa, 27 November 2012

"Bumi Mana Yang Tidak Ditimpa Hujan"

Kata orang "bumi mana yang tidak ditimpa hujan". Katakan anda sendiri pernah membuat satu kesalahan yang agak serius. Ceritakan pengalaman anda bersabit dengan kesalahan yang telah anda lakukan.

                                                                                                                                                                         

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Jelaskan maksud pepatah.
  • Berikan satu contoh tokoh agung.
  • Nyatakan tentang kelemahan diri.
Kemuncak:
  • Tertarik dengan gaya hidup bebas.
  • Mula bergaul dengan budak nakal.
  • Belajar berbudi.
  • Hutang, mencuri wang.
  • Ditangkap oleh polis.
Penyelesaian:
  • Dibawa ke balai polis.
  • Berasa malu.
  • Ibu bapa ikat jamin.
  • Insaf akan kesalahan.


CONTOH KARANGAN

Apa yang diujarkan oleh orang-orang tua dahulu bahawa bumi mana yang tidak ditimpa hujan memang tepat sekali. Kalau George Washington, iaitu bekas Presiden Amerika yang tersohor pernah menumbangkan pokok epal kesayangan bapanya dan berniat untuk berdusta dengan bapanya, apatah lagi seorang manusia biasa seperti aku ini.

     Kira-kira enam bulan yang lalu, aku mula tertarik dengan gaya hidup beberapa orang rakan sekampung yang sering ponteng sekolah. Mereka sentiasa kelihatan riang kerana terhibur dengan berbagai-bagai jenis permainan yang menyeronokkan. Oleh itu aku mula bermain daun terup. Sekarang aku didedahkan dengan  pengetahuan bermain bermacam-macam jenis permainan daun terup yang amat menghiburkan hati kami semua.

     Pada mulanya, kami hanya menggunakan tiket bas terpakai sebagai wang pertaruhan. Lama-kelamaan kami mula bertaruh dengan duit syiling berluma dengan lima sen sekali sepuluh ringgit. Alangkah seronoknya perasaanku pada masa itu.

     Entah mengapa pada hari-hari kemudiannya nasib tidak menyebelahiku pula. Disebabkan aku ingin memenangi wang yang lebih banyak, wang pertaruhan kami semakin meningkat. Malang tak berbau, pada hari itu aku bukan sahaja kalah semua wang pertaruhan yang ada padaku, malah telah berhutang sebanyak RM50.00. Tatkala itu, aku bukan sahaja tidak insaf tetapi tambah berani mencuri wang ibuku dari laci almari soleknya untuk membayar hutang tersebut. Sebahagian lagi aku jadikan wang pertaruhan yang baharu.

     Seperti biasa selepas balik dari sekolah, kami berkumpul di belakang rumah usang untuk berjudi. Wah, hari itu nasibku menjadi baik kembali! Semasa aku mengumpulkan wang kemenangan dari meja judi, tiba-tiba ada dalam kalangan rakanku yang berpekik, "Polis! Polis!"

     Dalam sekelip mata, mereka semua lari bertempiaran. Aku hanya terpaku di tempat dudukku tanpa berbuat apa-apa. Akibatnya, akulah satu-satunya kaki judi yang ditangkap oleh polis. Alangkah malunya aku ketika diiringi oleh anggota polis ke balai polis. Semua orang kampung berbaris di tepi jalan melihat gelagat seorang budak nakal ditangkap oleh polis. Setengah jam kemudian, ibu dan bapaku dengan wajah tua sayu pergi ke balai polis, menguruskan ikat jamin untuk membebaskan diriku.

     "Pak, mak, Onn berjanji tidak akan berjudi lagi." Tekadku sambil meminta maaf daripada ibu dan bapaku. Tang menghairankan aku, pada masa itu mereka langsung tidak memarahi aku. Namun, aku dapat merasakan, air mata mereka sedang mengalir ke dalam kolam hatinya.



Isnin, 26 November 2012

Langkah-langkah Menangani Gejala Vandalisme

Gambar di bawah menunjukkan perbuatan vandalisme. Tulis sebuah karangan tentang langkah-langkah menangani gejala vandalisme. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • vandalisme membawa pelbagai masalah
Isi:
  • didikan awal di rumah dan sekolah - melalui subjek Sivik
  • hukuman berat memberi amaran
Penutup:
  • mesti dibendung sebelum melarat


CONTOH KARANGAN

Jenayah vandalisme sering diperkatakan oleh masyarakat hari ini. Vandalisme membawa maksud perbuatan merosakkan harta benda serta kemudahan awam. Perbuatan seperti ini telah membawa pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara. Terdapat pelbagai cara yang boleh kita lakukan bagi mengurangkan gejala ini daripada terus berleluasa.

     Langkah pertama bagi membasmi masalah ini adalah dengan pendidikan awal di rumah dan di sekolah. Ibu bapa harus menerangkan kepada anak-anak mereka akan kepentingan menghargai kemudahan awam. Di sekolah, melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, pelajar harus diberi maklumat yang betul tentang kesan-kesan negatif daripada perbuatan merosakkan harta benda awam.

     Hukuman yang lebih berat harus dikenakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan perkara ini. Tindakan ini penting untuk memberi peringatan kepada masyarakat bahawa perbuatan merosakkan kemudahan awam merupakan kesalahan yang serius. Penguatkuasaan yang lemah serta hukuman yang ringan tidak akan memberi impak yang diharapkan.

     Kesimpulannya, perbuatan vandalisme ini seharusnya dibendung dari sekarang sebelum ia mudarat. Setiap ahli masyarakat perlu peka akan kepentingan menjaga seta memelihara harta benda awam agar semua orang dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Janganlah kita menjadi seperti kera mendapat bunga yang akan merugikan semua pihak.

Bagaimana Menghormati Warga Emas

Gambar di bawah menunjukkan suasana pada pagi hari raya. Tulis sebuah karangan tentang bagaimana menghormati warga emas. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • tanpa warga tua tiada belia hari ini
  • mereka harus dihormati
Isi:
  • memberikan perhatian kepada mereka - program Ibu Bapa Angkat
  • menjaga mereka setelah mereka kurang berdaya
Penutup:
  • warga emas penting dalam hidup kita
  • harus menyenangkan hati mereka


CONTOH KARANGAN

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Slogan ini sering dilaungkan dalam usaha negara menyemai semangat dalam kalangan belia untuk memajukan negara. Namun, itu tidak bermakna warga emas atau warga tua disisihkan dalam hidup kita. Tanpa mereka tiadalah golongan belia pada hari ini. Warga emas harus mendapat pengiktirafan yang sewajarnya melalui pelbagai cara.

     Kita dapat membuktikan rasa hormat kita kepada warga emas dengan memberikan perhatian kita kepada mereka. Pihak sekolah harus menggalakkan pelajar mengunjungi rumah orang tua-tua. Program Ibu Bapa Angkat wajar diwujudkan bagi mengubat kerinduan warga emas terhadap anak-anak atau cucu-cucu mereka. Melalui program ini pelajar akan dapat menyemai nilai hormat terhadap orang tua.

     Bukan itu sahaja cara kita menunjukkan penghargaan terhadap warga emas. Sebagai anak, kita haruslah menjaga orang tua kita apabila mereka sudah tidak berdaya. Kita haruslah mencurahkan kasih sayang kepada mereka sama seperti yang telah dilakukan oleh mereka sewaktu kita masih kecil. Hati mereka tidak boleh disakiti walau dalam apa jua keadaan.

     Tuntasnya, warga tua sememangnya amat penting dalam kehidupan kita semua. Sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab, kita mesti berusaha untuk menyenangkan hati mereka agar kita tidak dikatakan bersikap seperti kacang lupakan kulit.

Ciri-ciri Pelajar Cemerlang

Gambar di bawah menunjukkan ciri-ciri pelajar cemerlang. Tulis sebuah karangan tentang pelajar cemerlang. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • setiap tahun banyak pelajar cemerlang
  • adakah cemerlang semua aspek
Isi:
  • bukan sahaja cemerlang akademik tetapi taat perintah guru - bersedia sebelum guru mengajar
  • ada kepimpinan - dihormati pelajar lain
  • berdisiplin - aktif kokurikulum
Penutup:
  • perlu cemerlang dalam pelbagai aspek


CONTOH KARANGAN

Setiap tahun apabila keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM diumumkan sudah pasti akan muncul ribuan pelajar yang cemerlangl Setiap individu yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan adakah cemerlang dalam semua aspek? Oleh itu, penulis akan mengupas tentang apa yang benar-benar cemerlang dalam erti kata sebenarnya.

     Pelajar yang cemerlang sudah tentu mempunyai sejarah pencapaian akademik yang cemerlang sama ada peperiksaan dalaman atau peperiksaan awam. Bukan itu sahaja, mereka juga merupakan pelajar yang sentiasa taat dalam menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru pada masa yang telah ditetapkan. Hal ini selaras dengan kata-kata pujangga, 'orang cerdik memberi jawapan, orang bodoh memberi alasan'. Mereka juga turut membuat persediaan sebelum guru memulakan pelajaran baru.

     Selain aspek akademik, pelajar yang cemerlang juga mempunyai daya kepemimpinan. Daya kepemimpinan menjadikan mereka seorang yang dihormati oleh rakan-rakan yang lain. Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang akademik dan mempunyai daya kepemimpinan yang tinggi akan dilantik oleh pihak sekolah sebagai ketua pelajar atau pengawas sekolah.

     Seorang yang cergas dan mempunyai sahsiah diri yang berdisiplin juga merupakan aspek penting dalam diri seorang pelajar cemerlang. Penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti pertandingan bahas dan acara sukan menunjukkan mereka seorang yang cergas. Disiplin yang baik seperti menghormati guru, menepati masa dan tidak melanggar peraturan sekolah menyebabkan mereka disenangi oleh semua pihak.

     Konklusinya, pelajar cemerlang yang dihasilkan pada setiap tahun perlu cemerlang dalam pelbagai aspek. Pihak sekolah dan ibu bapa perlu peka akan perkara ini agar modal insan yang kita lahirkan berminda kelas pertama seperti yang diuar-uarkan oleh bekas Perdana Menteri kita, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi.

Sabtu, 24 November 2012

Kepentingan Keperluan Asas Kepada Manusia

Gambar di bawah menunjukkan kemudahan asas dalam hidup kita. Tulis sebuah karangan tentang kepentingan keperluan asas kepada manusia. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • makanan sebagai keperluan asas
Isi:
  • makanan sebagai sumber tenaga
  • ilmu pengetahuan sebagai panduan hidup
Penutup:
  • jangan keterlaluan dan membazir


CONTOH KARANGAN

Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan, ujaran ini sering kita dengar kerana makanan merupakan salah satu keperluan asas kita untuk hidup. Keperluan asas yang lain ialah minuman, rumah, pakaian, dan ilmu pengetahuan. Mengapakah kita memerlukn segala keperluan asas?

     Kita memerlukan segala keperluan asas seperti makanan dan minuman untuk meneruskan hidup seharian. Jika kita tidak mendapat makanan dan minuman selama 14 hari maka kita akan mati kebuluran. Makanan dan minuman akan memberi kita kita kudrat untuk belajar dan bekerja sepanjang hari.

     Selain itu, untuk meneruskan hidup secara sempurna kita memerlukan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan yang berguna akan memandu kita ke arah jalan yang betul dari segi agama dan undang-undang.

     Konklusinya, keperluan asas penting untuk hidup dengan sempurna. Janganlah kita bersikap keterlaluan, terutama semasa makan kerana akan secara berlebihan selain daripada membazir akan membawa implikasi terhadap kesihatan. Tuhan juga membenci mereka yang bersikap membazir.

Rabu, 21 November 2012

Kepentingan Seni Mempertahankan Diri

Gambar di bawah menunjukkan seni mempertahankan diri. Tulis sebuah karangan tentang kepentingan seni mempertahankan diri. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • dahulu sebagai alat untuk berjuang
Isi:
  • kegiatan riadah yang sihat - gerakkan semua otot
  • pelindung waktu kecemasan
Penutup:
  • tidak harus diketepikan
  • harus dipertahankan


CONTOH KARANGAN

Pada zaman dahulu ilmu seni mempertahankan diri merupakan senjata utama untuk berjuang menentang seteru atau melindungi keselamatan diri serta keluarga. Dengan perkembangan teknologi, seni mempertahankan diri tidak lagi digunakan untuk bertempur semata-mata. Kini, seni ini turut berfungsi sebagai salah satu aktiviti riadah yang digemari ramai.

     Antara kepentingan seni mempertahankan diri ialah kita boleh menjadikannya sebagai kegiatan riadah yang menyihatkan. PErgerakan serta langkah yang menjadi elemen seni mempertahankan diri mampu menggerakkan semua otot tubuh kita. Seni mempertahankan diri 'tai-chi' sebagai contoh amat popular dalam kalangan masyarakat kini.

     Pengetahuan asas dalam seni mempertahankan diri mampu menjadi pelindung kepada kita dalam situasi yang mendesak. Peningkatan kes ragut, samun, dan rogol pada masa ini menuntut kita agar lebih berhati-hati dan sentiasa bersedia untuk mempertahankan diri.

     Seni mempertahankan diri menjadikan kita berasa lebih yakin untuk menjalani kehidupan seharian.

     Kesimpulannya, seni mempertahankan diri tidak harus diketepikan kerana amat relevan dengan kehidupan kita pada hari ini. Kita harus mempertahankannya agar seni yang unik ini tidak pupus ditelan zaman dan terus segar bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. 

Kepentingan Internet Kepada Pelajar

Jadual di bawah menunjukkan taburan frekuensi keseronokan terhadap komputer. Tulis sebuah karangan tentang kepentingan Internet kepada pelajar. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Taburan Frekuensi Keseronokan Terhadap Komputer


RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • manusia berlumba mengejar maklumat
Isi:
  • memudahkan pelajar mendapatkan maklumat
  • memudahkan urusan sesuatu permohonan
Penutup:
  • kita harus merebut peluang agar tidak ketinggalan


CONTOH KARANGAN

Informasi amat penting dalam era moden ini. Sesiapa yang menguasai dan memiliki banyak informasi maka merekalah yang paling berkuasa. Oleh itu, manusia berlumba-lumba mengejar informasi. Sumber informasi paling mudah diperoleh melalui sistem perhubungan yang tiada hadnya atau lebih popular dengan istilah Internet.

     Internet amat berguna dalam usaha kita menambahkan ilmu pengetahuan. Selain ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru di dalam bilik darjah, kita boleh melayari Internet untuk mendapatkan informasi tambahan. DEngan informasi tambahan kita akan lebih berjaya berbanding pelajar-pelajar lain yang hanya bergantung kepada buku teks. Terdapat banyak laman web yang sesuai untuk pelajar-pelajar sekolah seperti Portal Pendidikan Utusan Malaysia dan tutorial.com.my.

     Dengan adanya Internet, urusan permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi juga bertambah mudah. Selain daripada data terperinci tentang kursus-kursus yang ditawarkan, pelajar-pelajar juga boleh mengisi borang permohonan secara talian terus. Bukan itu sahaja, pelajar-pelajar tidak perlu menunggu akan keputusan permohonan kerana mereka boleh menyemaknya dengan melayari Internet.

     Pendek kata, memang banyak kelebihan yang diperoleh apabila kita mahir menggunakan Internet. Kita mestilah berusaha untuk meraih segala peluang yang ada kerana yang bulat tidak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang.

     


Ahad, 18 November 2012

Faktor Tarikan Kunjungan Pengguna ke Perpustakaan

Lihat gambar di bawah. Tulis sebuah karangan tentang faktor tarikan kunjungan pengguna ke perpustakaan. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • membaca jambatan ilmu
  • banyak perpustakaan disediakan
Isi:
  • pelbagai bahan bacaan
  • keselesaan di perpustakaan - mempunyai kemudahan Internet
Penutup:
  • buku sebagai sumber ilmu


CONTOH KARANGAN

Membaca Jambatan Ilmu merupakan kata-kata hikmat yang sering tertera di mana-mana perpustakaan. Perpustakaan merupakan sebuah tempat yang menempatkan pelbagai pilihan buku kepada para penggemar ilmu. Galakan daripada pihak kerajaan sendiri ke arah membudayakan amalan membaca adalah dengan penubuhan perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak.

     Antara faktor peningkatan pengguna sesebuah perpustakaan ialah kepelbagaian bahan bacaan yang terdapat di sana. Setiap individu mempunyai cita rasa yang berbeza. Kanak-kanak sudah tentu meminati buku cerita fiksyen dan bukan fiksyen. Manakala golongan dewasa inginkan pilihan buku seperti buku masakan untuk suri rumah, novel untuk golongan remaja dan buku ilmiah untuk golongan profesional.

     Selain itu, faktor keselesaan yang terdapat di perpustakaan tersebut juga menjadi daya tarikan kepada pengunjung. Pengguna perpustakaan tentunya selesa sekiranya perpustakaan tersebut berhawa dingin. Mempunyai kemudahan Internet tutrut memudahkan orang ramai dalam pencarian maklumat, terutama pelajar sekolah dan IPT. Pendek kata, kemudahan yang ditawarkan mampu menarik kunjungan pengguna ke sesebuah perpustakaan.

     Kesimpulannya, menjadikan buku sebagai pendamping yang setia tidak akan merugikan malah memberi kita ilmu yang berguna. Pihak kerajaan secara umumnya dan pihak berkuasa tempatan secara khususnya perlu menaik taraf perpustakaan yang terdapat di negara ini sebagai langkah menarik pengunjung.

Cara Menangani Kesesakan Jalan Raya

Pelan di bawah merupakan pelan Bandaraya Kuala Lumpur. Tulis sebuah karangan tentang cara menangani kesesakan jalan raya. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • berlaku di bandar besar
  • dapat dielak dengan pelbagai alternatif
Isi:
  • gunakan pengangkutan awam
  • memindahkan tumpuan orang ramai
Penutup:
  • dapat diatasi dengan kerjasama orang ramai dan kerajaan


CONTOH KARANGAN

Kesesakan jalan raya sering berlaku di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Faktor kemampuan masyarakat hari ini memiliki kenderaan sendiri menyumbang kepada kesesakan di jalan raya. Namun, kesesakan di jalan raya dapat dielakkan melalui beberapa alternatif.

     Cara pertama yang dapat dilakukan bagi mengelakkan kesesakan di jalan raya ialah menggunakan kemudahan awam seperti bas, LRT, dan monorel. Dengan cara ini, jumlah kenderaan di jalan raya dapat dikurangkan dan kita tidak akan terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang membosankan.

     Selain itu, memindahkan tempat tumpuan orang ramai ke tempat lain juga dapat menangani masalah kesesakan jalan raya. Contoh yang dapat kita lihat ialah perpindahan pusat pentadbiran kerajaan ke Wilayah Persekutuan Putrajaya telah berjaya mengurangkan fokus orang ramai ke Kuala Lumpur. Begitu juga dengan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang terletak di Sepang, Selangor.

     Kesimpulannya, kesesakan jalan raya dapat ditangani sekiranya mendapat kerjasama daripada orang ramai dan pihak kerajaan seperti slogan "Bersatu Teguh, Bercerai Roboh."



Sabtu, 17 November 2012

Usaha-usaha Memajukan Perusahaan Makanan Tradisional

Jadual di bawah menunjukkan perusahaan keropok yang dihasilkan. Tulis sebuah karangan tentang uasaha-usaha memajukan perusahaan makanan tradisional. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Jenis Keropok Keping & Kuantiti Dihasilkan


RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • negara kaya dengan pelbagai makanan tradisional
Isi:
  • memudahkan proses pinjaman
  • membantu mereka memasarkan produk
Penutup:
  • kemajuan perusahan ini akan membantu meningkatkan ekonomi


CONTOH KARANGAN

Negara kita kaya dengan pelbagai jenis makanan tradisional yang berasal dari pelbagai negeri. Antara makanan tradisional yang popular di Malaysia ialah dodol, baulu, dan lemang. Makanan ini turut mendapat sambutan di luar negara. Pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mengkomersilkan makanan tersebut bukan sahaja di dalam, malah ke luar negara.

     Anatara usaha efektif adalah dengan memudahkan proses pinjaman modal kepada pengusaha-pengusaha kecil makanan tradisional agar mereka mampu membesarkan saiz perusahaan mereka. Syarat-syarat pinjaman haruslah dilonggarkan agar lebih banyak pengusaha kecil layak menerima pinjaman. Kesukaran mendapatkan pinjaman menyebabkan perniagaan tidak dapat dikembangkan.

     Agensi-agensi yang berkaitan perlu memberi bantuan dari aspek pemasaran. Bantuan dalam memasarkan produk mereka amat penting dalam meningkatkan penjualan. Mereka patut diberi ruang untuk memasarkan produk mereka sama seperti para pengusaha makanan yang sudah terkenal agar mereka juga akan mengecapi keuntungannya.

     Pendek kata, banyak lagi usaha yang boleh dilakukan dalam memajukan industri makanan tradisional. Kemajuan dalam perusahan makanan tradisional akan membawa keuntungan kepada ekonomi negara. Sehubungan itu, sikap di mana ada kemahuan, di situ ada jalan perlu ada dalam diri semua pengusaha makanan tradisional agar kejayaan yang diimpikan menjadi realiti.

Faktor Pemilihan Sesebuah Rumah Kediaman

Pelan di bawah merupakan pelan sebuah rumah. Tulis sebuah karangan tentang faktor pemilihan sesebuah rumah kediaman. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • pelbagai jenis rumah ditawarkan
Isi:
  • lokasi yang sesuai
  • kemudahan prasarana yang pelbagai
  • keadaan rumah yang sempurna
Penutup:
  • rumah merupakan keperluan
  • banyak faktor yang perlu diambil kira


CONTOH KARANGAN

Rumah kediaman yang lengkap dan selesa menjadi idaman semua manusia. Kini, terdapat pelbagai jenis rumah yang ditawarkan oleh pihak pemaju perumahan daripada yang berharga puluhan ribu hinggalah ratusan ribu. Contoh rumah yang ditawarkan ialah rumah kos rendah, rumah teres, banglo, apartmen dan kondominium. Pembelian sesebuah rumah bergantung kepada beberapa faktor.

     Faktor utama pembelian sesebuah rumah ialah lokasi rumah tersebut. Setiap pembeli sudah tentu inginkan rumah yang berdekatan dengan tempat kerja. Hal ini tentunya akan memudahkan mereka berulang-alik ke tempat kerja sekali gus menjimatkan kos pengangkutan. Kawasan yang tidak terlalu sesak juga menjadi pilihan utama pembeli.

     Selain itu, kawasan yang mempunyai kemudahan yang lengkap dengan pelbagai infrastruktur turut menjadi keutamaan. Kemudahan seperti jalinan jalan raya, hospital, sekolah, bank, dan sebagainya menjadi pilihan pihak pembeli. Jarak rumah yang ingin dibeli dengan kemudahan di kawasan tersebut amat dititikberatkan.

     Keadaan rumah tersebut juga perlu berbaloi dengan harga yang ditawarkan oleh oihak pemaju perumahan. Sering kali berlaku rumah yang dibeli berlaku kerosakan seperti dinding retak dan lantai mendap. Oleh itu, pihak pembeli perlu berhati-hati agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis penjual.

     Kesimpulannya, rumah merupakan keperluan bagi semua orang. Namun, jika ingin membeli rumah perlu mengambil kira beberapa faktor agar tidak menyesal pada kemudian hari seperti pepatah alah membeli, menang memakai. Rumah idaman keluarga sudah tentunya menjadi Rumahku, Syurgaku.

     

     




Keselamatan di Sekolah Pada Waktu Kebakaran

Pelan di bawah ialah pelan sebuah sekolah. Tulis sebuah karangan tentang keselamatan di sekolah pada waktu kebakaran. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • banyak kes kebakaran kerana cuai dan tiada langkah keselamatan
Isi:
  • sediakan pelan keselamatan
  • mengadakan latihan kebakaran
Penutup:
  • sekolah harus ambil berat soal keselamatan


CONTOH KARANGAN

Belakangan ini kita sering didedahkan dengan kes-kes kebakaran yang mengakibatkan kemalangan jiwa serta kerugian harta yang banyak. Malapetaka itu terjadi akibat kecuaian dan tiada langkah-langkah keselamtan yang jitu. Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak sekolah harus proaktif bagi mengelakkan kemalangan tersebut berlaku di sekolah.

     Langkah pertama yang harus diambil adalah dengan menyediakan pelan keselamatan sekolah. Pelan ini berfungsi sebagai panduan kepada pelajar-pelajar, guru-guru serta kaki-tangan untuk menyelamatkan diri mereka jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Pelan tersebut mestilah mudah difahami oleh semua yang melihatnya agar tidak timbul kekeliruan yang boleh mengancam nyawa serta harta.

     Seterusnya, latihan kebakaran wajib diadakan agar semua yang terlibat dapat mempraktikkannya dengan efektif. Latihan tersebut perlu diadakan dengan kerap bagi memastikan kelancaran pergerakan jika berlaku kecemasan. Pihak sekolah boleh menjemput pihak yang berkuasa seperti pihak bomba untuk memantau latihan tersebut.

     Tuntasnya, slogan cegah sebelum parah haruslah menjadi pegangan pihak sekolah bagi memastikan keselamatan mereka terjamin. Dalam perkara yang melibatkan nyawa, sikap acuh tak acuh perlu dibuang jauh-jauh agar kita tidak menyesal pada kemudian hari.