Carian

Jumaat, 30 November 2012

Hari Kebangsaan Malaysia Yang Ke-53

Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-53 tahun, anda telah berpeluang menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan tersebut. Ceritakan pengalaman anda.

                                                                                                                                                                            

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Ogos 2010 - Hari Kebangsaan ke-53
  • Bapa berjanji membawa kami ke Dataran Merdeka
Isi: 
  • Kami bertolak awal kerana jarak jauh dan mengelakkan kesesakan
  • Letak kereta jauh - banyak jalan ditutup - ayah membawa perakam video - duduk paling hadapan
  • 7.30 mula perarakan - pasukan beruniform - segak sekali
  • Pejuang veteran turut serta 
  • Perarakan kereta berhias oleh sektor korporat
Penutup:
  • Cuaca baik seakan-akan merestui sambutan pada pagi itu
  • Kami berasa gembira kerana dapat merayakannya


CONTOH KARANGAN

Menjelmanya bulan Ogos pada setiap tahun, pelbagai pihak tentunya bertungkus-lumus bagi menjayakan sambutan Hari Kebangsaan Negara kali ke-53 tahun. Sambutan Hari Kebangsaan tahun 2010 diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Bapa telah berjanji untuk membawa kami sekeluarga ke Dataran Merdeka bagi menyaksikan perarakan tersebut.

     Sebaik sahaja mengerjakan solat Subuh, saya telah bersiap-siap mengemaskan diri untuk bertolak ke sana. Disebabkan jarak rumah kami ke Dataran Merdeka agak jauh, kami terpaksa bertolak awal pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mendapat tempat yang strategik untuk menonton.

     Sebaik sahaja tiba di sana, kereta kami terpaksa diletakkan agak jauh kerana banyak jalan telah ditutup. Bapa saya telah membawa bersama perakam video untuk merakan detik-detik bersejarah selapas negara kita merdeka selama 53 tahun. Saya dan bapa telah mengambil tempat duduk yang paling hadapan. Kelihatan di pentas utama dif-dif kehormat, iaitu Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan menteri-menteri Malaysia.

     Tepat jam 7.30 pagi, perarakan dimulakan dengan kumpulan pancaragam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria. Diikuti dengan pasukan beruniform seperti Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut dan Udara, dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia. MEreka semua kelihatan gagah perkasa dengan pakaian seragam masing-masing.

     Yang paling istimewa pada tahun ini ialah kehadiran kumpulan pejuang veteran negara. Kebanyakan mereka telah melebihi usia 70-an, namun masih mampu berjalan sepanjang perarakan demi negara. Selain itu, perarakan kemerdekaan pada kali ini juga disetai kakitangan kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran dan pihak swasta serta sektor korporat. Terdapat juga perarakan kereta berhias oleh Petronas yang mempamerkan bunga raya sebagai bunga kebangsaan negara. Mereka menggunakan pelbagai bunga hidup sebagai hiasan.

     Suasana pagi yang cerah seakan-akan merestui sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-53 pada tahun ini. Perarakan berakhir pada jam 10.30 pagi dan semua orang beredar untuk pulang. Kami sekeluarga turut meninggalkan kawasan dataran dengan hati yang cukup puas. Saya berasa gembira sekali kerana dapat menyaksikan Hari Kemerdekaan negara yang ke-53 secara langsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Projek Anak Angkat Anjuran Kementerian Pelajaran

Pada cuti semester yang lalu, anda telah terpilih mengikuti projek anak angkat anjuran Kementerian  Pelajaran. Tulis pengalaman anda semasa mengikuti projek tersebut.

                                                                                                                                                                           

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Tarikh bertolak dan perasaan apabila terpilih
Isi:
  • Suasana dalam perjalanan - menyanyi gembira
  • Tiba di destinasi - letih tetapi perjalanan yang menarik
  • Berjumpa dengan keluarga angkat masing-masing
  • Tinggal bersama keluarga angkat - pengalaman menarik - mengetahui kehidupan sebenar keluarga nelayan
Penutup:
  • Bertolak balik ke Kuala Lumpur
  • Perasaan berpisah dengan keluarga angkat


CONTOH KARANGAN

Dalam perhimpunan rasmi sekolah, Cikgu Hazni telah mengumumkan tawaran mengikuti program anak angkat anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia. Tawaran tersebut terbuka kepada semua murid sekolah menengah di Kuala Lumpur. Program anak angkat kali ini akan dijalankan di perkampungan nelayan di Kuala Muda di negeri Kedah. Murid-murid sekolah di Kuala Lumpur akan berpeluang mengenali dan merasai pahit maung sebagai seorang nelayan.

     Makluman daripada Cikgu Hazni terlebih dahulu saya sampaikan kepada ayah dan ibu untuk memohon kebenaran. Pelbagai syarat dan nasihat telah ayah berikan kepada saya mungkin kerana baru kali ini saya akan berjauhan dengan mereka. Surat kebenaran telah ditandatangani oleh ayah, saya serahkan kembali kepada Cikgu Hazni selaku penyelaras program.

     Menjelangnya cuti pertengahan tahun 2011, saya bersama tiga puluh orang murif dari pelbagai sekolah di Kuala Lumpur bertolak ke Kedah melalui lebuh raya Utara-Selatan. Perasaan teruja tidak dapat disembunyikan lagi daripada raut wajah masing-masing. Riak kegembiraan menyelubungi suasana di dalam bas ekspres dua tingkat Sani Ekspres.

     Apabila tiba di destinasi, iaitu Kuala Muda, Kedah kami berasa amat letih kerana perjalanan yang jauh, namun hati kami tetap gembira. Kami telah disambut oleh penduduk kampung dan diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Saya, Aimi, dan Dahlia telah dijadikan anak angkat kepada Pak Cik Jamal dan Mak Cik Limah. Mereka mempunyai dua orang anak, iaitu Laila dan Afiq. Selepas itu kami telah dibawa balik oleh keluarga angkat masing-masing.

     Sepanjang lima hari berada di rumah keluarga angkat, saya telah belajar tentang kehidupan seorang nelayan, iaitu bermula daripada peralatan menangkap ikan hinggalah kepada suka duka kehidupan sebagai nelayan. Apa yang dapat saya pelajari ialah walaupun hidup mereka "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang", namun kebahagiaan menyelubungi keluarga mereka. Kesempitan kewangan paling ketara, iaitu pada musim tengkujuh setiap tahun. Pada waktu ini mereka terpaksa membuat kerja lain seperti menganyam tikar atau menjual kuih kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan mereka turun ke laut.

     Semasa berada di rumah mereka, saya dapat merasa masakan ikan bakar yang masih segar dicecah dengan air asam, ikan keingm dan keropok. Saya dan dua orang rakan turut membantu Mak Cik Limah membuat keropok dan ikan kering.

     Pada hari terakhir sebelum bertolak balik, saya telah dibekalkan keropok dan ikan kering untuk dibawa pulang. Walaupun masa bersama mereka agak singkat, namun perpisahan kami tetap diiringi dengan air mata kesedihan. Saya berjanji jika masa mengizinkan, saya akan datang lagi ke rumah mereka.

Penceritaan / Cereka 1

Pada suatu hari, dalam perjalanan pulang daripada bermain bola tampar, anda dan adik anda telaah memetik buah rambutan di sebuah dusun tanpa kebenaran pemiliknya. Anda nyaris-nyaris ditangkap oleh pemiliknya. tulis pengalaman anda itu.

                                                                                                                                                                             

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:

  • Pulag daripad bermain bola tampar
Isi:
  • Bercadang memetik buah rambutan yang berjuntai di sebuah dusun
  • Masuk ke dusun tanpa kebenaran
  • Tiba-tiba pemilik dusun muncul
  • Adik sempat lari - aku terpaku
  • Terjun dari pokok
Penutup:
  • Minta maaf daripada tuan punya dusun


CONTOH KARANGAN

     Setiap tahun apabila menjelangnya musim buah-buahan, memori semasa zaman kanak-kanak pasti menggamit rasa. Kenangan tersebut pada mulanya agak pahit menjadi kenangan indah apabila dikenang semula. Sekembalinya daripada latihan bermain bola tampar di sekolah, aku dan adikku mengayuh basikal dengan longlainya akibat keletihan. Perjalanan dari sekolah ke rumah mengambil masa hampir setengah jam.

     Di pertengahan perjalanan ke rumah, kami melalui kawasan dusun buah-buahan. Rimbunan warna kemerahan di hujung dalam menarik perhatian kami berdua. Kelihatan buah rambutan yang sedang masak ranum di setiap pokok di tepi jalan dusun. Tanpa memikirkan akibatnya, aku mencadangkan adikku untuk memetik buah rambutan bagi mengalas perut yang sememangnya sedang lapar.

     Kami memerhati sekeliling kawasan dusun. Tidak kelihatan kelibat manusia. Tanpa melengahkan masa, aku terus memanjat pokok sementara adikku yang berada di bawah pokok memungut buah rambutan tersebut. Di samping itu, aku dan adik sempat juga makan buah rambutan dengan lahapnya.

     Tiba-tiba kedengaran bunyi seperti ranting kayu dipijak orang. Bunyi tersebut semakin jelas kedengaran. Serentak dengan itu juga adikku melaung "Abang, lari!"

     Aku terpaku seketika. Dalam keadaan tidak keruan itu sempat juga aku melihat semakin seorang tua yang berusia dalam lingkungan 60-an menuju ke arah kami. Tanpa berlengah lagi, aku pun terjun ke tanah dan mencapai basikal kami yang disandarkan pada batang pokok. Aku lihat adikku telah jauh meninggalkanku. Aku mengayuh basikal dengan sepenuh tenaga tanpa menoleh ke belankang lagi.

     Lelaki itu ialah tuan punya dusun. Namanya Pak Akob. Pak Akob terkenal di kampung itu kerana mempunyai dusun buah-buahan yang sangat luas. Apabila tiba di rumah, aku dan adik tercungap-cungap kerana keletihan. Aku bersyukur kerana sempat melarikan diri, walaupun tidak sempat membawa balik sebiji rambutan pun.

     Pada keesokan harinya aku dan adik pergi berjumpa dengan Pak Akob untuk memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Pak Akob memaafkan kami dan menasihati kami agar tidak mencuri lagi. Pak Akob turut menghadiahi kami seikat rambutan untuk dibawa pulang. Pengalaman tersebut mengajar aku agar tidak melakukan perbuatan yang tidak baik. Biarlah peristiwa itu menjadi kenangan untuk diceritakan kepada anak-anakku nanti.

Selasa, 27 November 2012

"Bumi Mana Yang Tidak Ditimpa Hujan"

Kata orang "bumi mana yang tidak ditimpa hujan". Katakan anda sendiri pernah membuat satu kesalahan yang agak serius. Ceritakan pengalaman anda bersabit dengan kesalahan yang telah anda lakukan.

                                                                                                                                                                         

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • Jelaskan maksud pepatah.
  • Berikan satu contoh tokoh agung.
  • Nyatakan tentang kelemahan diri.
Kemuncak:
  • Tertarik dengan gaya hidup bebas.
  • Mula bergaul dengan budak nakal.
  • Belajar berbudi.
  • Hutang, mencuri wang.
  • Ditangkap oleh polis.
Penyelesaian:
  • Dibawa ke balai polis.
  • Berasa malu.
  • Ibu bapa ikat jamin.
  • Insaf akan kesalahan.


CONTOH KARANGAN

Apa yang diujarkan oleh orang-orang tua dahulu bahawa bumi mana yang tidak ditimpa hujan memang tepat sekali. Kalau George Washington, iaitu bekas Presiden Amerika yang tersohor pernah menumbangkan pokok epal kesayangan bapanya dan berniat untuk berdusta dengan bapanya, apatah lagi seorang manusia biasa seperti aku ini.

     Kira-kira enam bulan yang lalu, aku mula tertarik dengan gaya hidup beberapa orang rakan sekampung yang sering ponteng sekolah. Mereka sentiasa kelihatan riang kerana terhibur dengan berbagai-bagai jenis permainan yang menyeronokkan. Oleh itu aku mula bermain daun terup. Sekarang aku didedahkan dengan  pengetahuan bermain bermacam-macam jenis permainan daun terup yang amat menghiburkan hati kami semua.

     Pada mulanya, kami hanya menggunakan tiket bas terpakai sebagai wang pertaruhan. Lama-kelamaan kami mula bertaruh dengan duit syiling berluma dengan lima sen sekali sepuluh ringgit. Alangkah seronoknya perasaanku pada masa itu.

     Entah mengapa pada hari-hari kemudiannya nasib tidak menyebelahiku pula. Disebabkan aku ingin memenangi wang yang lebih banyak, wang pertaruhan kami semakin meningkat. Malang tak berbau, pada hari itu aku bukan sahaja kalah semua wang pertaruhan yang ada padaku, malah telah berhutang sebanyak RM50.00. Tatkala itu, aku bukan sahaja tidak insaf tetapi tambah berani mencuri wang ibuku dari laci almari soleknya untuk membayar hutang tersebut. Sebahagian lagi aku jadikan wang pertaruhan yang baharu.

     Seperti biasa selepas balik dari sekolah, kami berkumpul di belakang rumah usang untuk berjudi. Wah, hari itu nasibku menjadi baik kembali! Semasa aku mengumpulkan wang kemenangan dari meja judi, tiba-tiba ada dalam kalangan rakanku yang berpekik, "Polis! Polis!"

     Dalam sekelip mata, mereka semua lari bertempiaran. Aku hanya terpaku di tempat dudukku tanpa berbuat apa-apa. Akibatnya, akulah satu-satunya kaki judi yang ditangkap oleh polis. Alangkah malunya aku ketika diiringi oleh anggota polis ke balai polis. Semua orang kampung berbaris di tepi jalan melihat gelagat seorang budak nakal ditangkap oleh polis. Setengah jam kemudian, ibu dan bapaku dengan wajah tua sayu pergi ke balai polis, menguruskan ikat jamin untuk membebaskan diriku.

     "Pak, mak, Onn berjanji tidak akan berjudi lagi." Tekadku sambil meminta maaf daripada ibu dan bapaku. Tang menghairankan aku, pada masa itu mereka langsung tidak memarahi aku. Namun, aku dapat merasakan, air mata mereka sedang mengalir ke dalam kolam hatinya.



Isnin, 26 November 2012

Langkah-langkah Menangani Gejala Vandalisme

Gambar di bawah menunjukkan perbuatan vandalisme. Tulis sebuah karangan tentang langkah-langkah menangani gejala vandalisme. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • vandalisme membawa pelbagai masalah
Isi:
  • didikan awal di rumah dan sekolah - melalui subjek Sivik
  • hukuman berat memberi amaran
Penutup:
  • mesti dibendung sebelum melarat


CONTOH KARANGAN

Jenayah vandalisme sering diperkatakan oleh masyarakat hari ini. Vandalisme membawa maksud perbuatan merosakkan harta benda serta kemudahan awam. Perbuatan seperti ini telah membawa pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara. Terdapat pelbagai cara yang boleh kita lakukan bagi mengurangkan gejala ini daripada terus berleluasa.

     Langkah pertama bagi membasmi masalah ini adalah dengan pendidikan awal di rumah dan di sekolah. Ibu bapa harus menerangkan kepada anak-anak mereka akan kepentingan menghargai kemudahan awam. Di sekolah, melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, pelajar harus diberi maklumat yang betul tentang kesan-kesan negatif daripada perbuatan merosakkan harta benda awam.

     Hukuman yang lebih berat harus dikenakan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan perkara ini. Tindakan ini penting untuk memberi peringatan kepada masyarakat bahawa perbuatan merosakkan kemudahan awam merupakan kesalahan yang serius. Penguatkuasaan yang lemah serta hukuman yang ringan tidak akan memberi impak yang diharapkan.

     Kesimpulannya, perbuatan vandalisme ini seharusnya dibendung dari sekarang sebelum ia mudarat. Setiap ahli masyarakat perlu peka akan kepentingan menjaga seta memelihara harta benda awam agar semua orang dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Janganlah kita menjadi seperti kera mendapat bunga yang akan merugikan semua pihak.

Bagaimana Menghormati Warga Emas

Gambar di bawah menunjukkan suasana pada pagi hari raya. Tulis sebuah karangan tentang bagaimana menghormati warga emas. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • tanpa warga tua tiada belia hari ini
  • mereka harus dihormati
Isi:
  • memberikan perhatian kepada mereka - program Ibu Bapa Angkat
  • menjaga mereka setelah mereka kurang berdaya
Penutup:
  • warga emas penting dalam hidup kita
  • harus menyenangkan hati mereka


CONTOH KARANGAN

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Slogan ini sering dilaungkan dalam usaha negara menyemai semangat dalam kalangan belia untuk memajukan negara. Namun, itu tidak bermakna warga emas atau warga tua disisihkan dalam hidup kita. Tanpa mereka tiadalah golongan belia pada hari ini. Warga emas harus mendapat pengiktirafan yang sewajarnya melalui pelbagai cara.

     Kita dapat membuktikan rasa hormat kita kepada warga emas dengan memberikan perhatian kita kepada mereka. Pihak sekolah harus menggalakkan pelajar mengunjungi rumah orang tua-tua. Program Ibu Bapa Angkat wajar diwujudkan bagi mengubat kerinduan warga emas terhadap anak-anak atau cucu-cucu mereka. Melalui program ini pelajar akan dapat menyemai nilai hormat terhadap orang tua.

     Bukan itu sahaja cara kita menunjukkan penghargaan terhadap warga emas. Sebagai anak, kita haruslah menjaga orang tua kita apabila mereka sudah tidak berdaya. Kita haruslah mencurahkan kasih sayang kepada mereka sama seperti yang telah dilakukan oleh mereka sewaktu kita masih kecil. Hati mereka tidak boleh disakiti walau dalam apa jua keadaan.

     Tuntasnya, warga tua sememangnya amat penting dalam kehidupan kita semua. Sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab, kita mesti berusaha untuk menyenangkan hati mereka agar kita tidak dikatakan bersikap seperti kacang lupakan kulit.

Ciri-ciri Pelajar Cemerlang

Gambar di bawah menunjukkan ciri-ciri pelajar cemerlang. Tulis sebuah karangan tentang pelajar cemerlang. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • setiap tahun banyak pelajar cemerlang
  • adakah cemerlang semua aspek
Isi:
  • bukan sahaja cemerlang akademik tetapi taat perintah guru - bersedia sebelum guru mengajar
  • ada kepimpinan - dihormati pelajar lain
  • berdisiplin - aktif kokurikulum
Penutup:
  • perlu cemerlang dalam pelbagai aspek


CONTOH KARANGAN

Setiap tahun apabila keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM diumumkan sudah pasti akan muncul ribuan pelajar yang cemerlangl Setiap individu yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan adakah cemerlang dalam semua aspek? Oleh itu, penulis akan mengupas tentang apa yang benar-benar cemerlang dalam erti kata sebenarnya.

     Pelajar yang cemerlang sudah tentu mempunyai sejarah pencapaian akademik yang cemerlang sama ada peperiksaan dalaman atau peperiksaan awam. Bukan itu sahaja, mereka juga merupakan pelajar yang sentiasa taat dalam menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru pada masa yang telah ditetapkan. Hal ini selaras dengan kata-kata pujangga, 'orang cerdik memberi jawapan, orang bodoh memberi alasan'. Mereka juga turut membuat persediaan sebelum guru memulakan pelajaran baru.

     Selain aspek akademik, pelajar yang cemerlang juga mempunyai daya kepemimpinan. Daya kepemimpinan menjadikan mereka seorang yang dihormati oleh rakan-rakan yang lain. Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang akademik dan mempunyai daya kepemimpinan yang tinggi akan dilantik oleh pihak sekolah sebagai ketua pelajar atau pengawas sekolah.

     Seorang yang cergas dan mempunyai sahsiah diri yang berdisiplin juga merupakan aspek penting dalam diri seorang pelajar cemerlang. Penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti pertandingan bahas dan acara sukan menunjukkan mereka seorang yang cergas. Disiplin yang baik seperti menghormati guru, menepati masa dan tidak melanggar peraturan sekolah menyebabkan mereka disenangi oleh semua pihak.

     Konklusinya, pelajar cemerlang yang dihasilkan pada setiap tahun perlu cemerlang dalam pelbagai aspek. Pihak sekolah dan ibu bapa perlu peka akan perkara ini agar modal insan yang kita lahirkan berminda kelas pertama seperti yang diuar-uarkan oleh bekas Perdana Menteri kita, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi.